KSM cadang wujudkan Sijil kemahiran Malaysia Tahfiz

Mahfuz menandatangani plak simbolik melancarkan Program Modular Professional Certification (Keselamatan Siber) hari ini. -Foto Bernama
Mahfuz menandatangani plak simbolik melancarkan Program Modular Professional Certification (Keselamatan Siber) hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (KSM) bercadang untuk mewujudkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahfiz pada masa depan bagi meningkatkan ilmu kemahiran pelajar institusi berkenaan pada masa depan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, dengan wujudnya sijil itu kelak ia dilihat akan lebih membuka pelbagai peluang pekerjaan kepada para pelajar aliran tahfiz.

“Sekarang ini apabila pelajar aliran tahfiz tamat pengajian, mereka hanya ada sijil pendidikan daripada institusi itu. Namun dengan wujudnya SKM Tahfiz ini mereka bukan sahaja ada kemahiran menghafal al-Quran tetapi mempunyai kemahiran dalam bidang lain.

“Setakat ini, saya sudah bertemu lebih daripada 70 pengusaha pusat tahfiz di Kedah. Saya kemukakan cadangan itu kepada mereka dan nampaknya mereka sangat terbuka dalam melihat masa depan lebih cerah kepada pelajar tahfiz.

"Saya harap Kedah akan menjadi perintis kepada usaha ini nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Persijilan Profesional Modular (Keselamatan Siber) di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), Tan Sri Dr Ts. Ahmad Zaidee Laidin dan Ketua Setiausaha KSM, Datuk Amir Omar.

Mahfuz berkata, usaha mewujudkan SKM Tahfiz juga membawa objektif sama dengan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Tahfiz yang diperkenalkan sebelum ini bagi memastikan pelajar institusi itu memperoleh sijil TVET.

“Jadi langkah pertama (dalam mewujudkan SKM Tahfiz) adalah dengan menaik taraf pengurusan pusat tahfiz dan tenaga pengajarnya perlu melalui kursus yang melibatkan kaedah pengajaran dan pengurusan berkaitan TVET,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu pada majlis itu, MBOT bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan CyberSecurity Malaysia mengadakan kerjasama strategik untuk membangunkan program persijilan berkenaan.

Program itu merupakan inisiatif untuk menambah golongan berpengetahuan dalam pelbagai kemahiran berkaitan bidang keselamatan siber.

Pada majlis itu juga, 14 memorandum persefahaman bertukar tangan antara pihak MBOT dengan wakil instituti pengajian tinggi (IPT) sebagai jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak berkenaan.

Antara 14 IPT terlibat adalah Perdana University, Taylor University, Instituition of Civil Engineers, Centre of Applied Data Science dan Universiti Terbuka Malaysia (OUM). - Bernama