Sila log masuk terlebih dahulu.

Hindari polemik yang berpanjangan

A
A
A

EKONOMI dunia dijangka mengalami transisi ke era ekonomi digital apabila sebahagian besar jual beli barangan iaitu 65% pasaran akan berlaku dalam talian berbanding di kedai fizikal.

Ini menyebabkan lebih banyak syarikat akan tutup disebabkan kerugian akibat pembelian yang rendah dan peningkatan kos operasi.

Kesannya, lebih banyak bangunan kedai dan lot-lot perniagaan semakin kurang mendapat sambutan jika transisi ekonomi ini berjaya menggantikan ekonomi konservatif.

Ini bermakna permintaan ke atas lot-lot perniagaan akan menjadi berkurangan, seterusnya menyebabkan permintaan ke atas projek pembinaan berkurangan.

Dijangkakan juga suhu dunia mengalami peningkatan antara 1.5 - 3 darjah Celsius apabila arus El Nino melanda kawasan sekitar garisan khatulistiwa bermula dari Lautan Pasifik sehingga Lautan Hindi pada pertengahan tahun.

Situasi ini dijangka menyebabkan berlakunya kemarau dan perubahan cuaca secara mendadak.

Akibatnya, tanaman-tanaman bijian dan sayuran termasuk penternakan dan perikanan akan terjejas. Seterusnya meningkatkan lagi harga barangan makanan di rantau Asia.

Peningkatan harga barangan makanan dan keperluan kehidupan boleh menyebabkan peningkatan kadar inflasi dan kos sara hidup.

Artikel Berkaitan:

Melalui dua situasi ini, kuasa beli rakyat akan mengalami dua perubahan. Pertama, perubahan kuasa beli rakyat kini dari keadaan nyata kepada alam maya.

Kedua, kuasa beli rakyat juga akan jatuh disebabkan penumpuan ke atas barangan asas kehidupan, bukannya barangan mewah. Kedua-dua situasi ini juga membawa kepada penurunan tawaran pekerjaan dalam sektor swasta.

Sebaliknya, kemandirian dalam perniagaan talian akan menguji ketahanan sesebuah perniagaan dalam memasarkan produknya.

Corak perniagaan talian juga membawa kepada pengenalan robotik dalam pengilangan produk bagi menjimatkan kos dan merendahkan harga tawaran supaya dapat bersaing secara kompetitif.

Walaupun ekonomi dijangka berubah dengan pantas kerana pentas ekonomi dunia hari ini dikuasai oleh BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) dan bukan lagi Amerika, Jepun dan Eropah.

Penguasaan ekonomi oleh BRICS adalah disebabkan pengukuhan pengenalan Revolusi Industri 5.0 oleh negara-negara tersebut.

Ini seterusnya dapat menembusi pasaran kapitalis Amerika, Eropah dan Jepun berdasarkan permintaan dan penawaran produk yang lebih kompetitif dan murah.

Apa yang berlaku di negara kita ialah kita lebih mengutamakan polemik dan politik daripada terus bergerak membangunkan ekonomi negara yang masih berbicara mengenai Revolusi Industri 4.0.

Bukan untuk memohon simpati daripada kerajaan dalam menunaikan janji-janji manifesto, tetapi sekurang-kurangnya kestabilan politik lebih utama daripada menimbulkan polemik kepimpinan pentadbiran negara.

Polemik politik yang berpanjangan tidak boleh membawa kepada keyakinan para pelabur luar datang melabur di negara ini.

Keyakinan pelaburan bukan setakat dilihat membawa duit tetapi juga membawa bersama pekerjaan, pendapatan kepada negara dan mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup. Itulah harapan rakyat.

Tetapi jika ketidakstabilan berlaku dengan berbagai-bagai polemik, akan memberikan implikasi ke atas nilai mata wang, pelaburan dari luar negara, kos sara hidup dan pengenalan cukai baharu.

Keempat elemen ini bakal berlaku dan saling berkait rapat.

Politik dan ekonomi umpama aur dan tebing. Jika politik tidak stabil menyebabkan pelaburan dari luar jatuh. Akibatnya, nilai mata wang negara kita merosot, seterusnya menyebabkan harga barangan meningkat.

Hubungan antara kaum juga perlu ditangani secara berhemah untuk mengelakkan krisis sosioekonomi berkaitan kaum.

Andai kata tiada usaha untuk mengeratkan perpaduan kaum di negara ini secara informal di peringkat akar umbi, akan membawa satu lagi krisis lebih besar daripada isu kuil Seafield.

Adalah lebih utama akitivti muhibah dilaksanakan tanpa elemen politik.

Andai kata perbelanjaan kerajaan tidak mencukupi maka penjanaan pendapatan kerajaan perlu dipergiatkan. Bukannya pengenalan cukai baharu yang bakal membebankan rakyat.

Sepatutnya semua projek mega perlu dinilai semula bagi mengurangkan perbelanjaan negara. Bukannya rakyat yang menanggung beban perbelanjaan kerajaan sekiranya meningkat dan pendapatan negara berkurangan.

Kebajikan dan keselesaan hidup rakyat lebih utama daripada polemik politik negara ini. Rakyat kini memerlukan perdana menteri yang memahami jiwa dan kehidupan rakyat.

Melangkaui daripada keutamaan kepada kumpulan B40 tetapi juga keutamaan kepada kumpulan M40 yang merupakan majoriti rakyat negara ini.

*Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan