X

Kindly register in order to view this article
!

Projek mega Pulau Pinang perlu penuhi 72 syarat

Chow Kon Yeow berkata, menerusi aku janji yang dilakukan, kerajaan negeri perlu memenuhi kesemua syarat dalam Laporan Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar JAS dan 18 nasihat oleh Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) sebelum memulakan projek bernilai RM11 bilion itu.
A
A

GEORGETOWN - Projek mega Tambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSR) yang bakal membina tiga buah pulau buatan tidak akan dilaksanakan selagi kerajaan negeri tidak memenuhi 72 syarat yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, menerusi aku janji yang dilakukan, kerajaan negeri perlu memenuhi kesemua syarat dalam Laporan Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar JAS dan 18 nasihat oleh Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) sebelum memulakan projek bernilai RM11 bilion itu.

"Menerusi aku janji tersebut, tiada sebarang pelaksanaan yang boleh dilakukan jika semua syarat dan nasihat tidak dipenuhi. Projek hanya boleh bermula selepas semua kelulusan diperoleh.

"Ruang yang sedia ada bagi kerajaan negeri adalah untuk memenuhi syarat-syarat yang dikenakan itu. Selagi tidak dipenuhi, kerja tambakan laut tidak boleh buat," katanya ketika dihubungi kru Sinar Siasat di sini semalam.

Kon Yeow berkata, pihak terlibat antaranya badan bukan kerajaan (NGO) dan JAS boleh memantau kemajuan syarat yang telah dilaksanakan kerajaan negeri.

"JAS bertanggungjawab memantau pematuhan syarat yang dilaksanakan kerajaan negeri. Cadangan untuk mengetahui syarat-syarat ini dipenuhi, kerajaan negeri boleh membuat senarai kemajuan syarat yang telah dilaksanakan dari semasa ke semasa.

"Senarai kemajuan itu akan didedahkan agar orang awam dapat mengetahui kemajuan pematuhan syarat-syarat tersebut. Tindakan ini sama seperti kerajaan negeri lakukan dalam manifesto PRU14 lalu iaitu boleh mengetahui janji yang sudah ditunaikan," katanya.

Beberapa orang nelayan di Jelutong bersiap sedia untuk turun ke laut namun dalam hati mereka gusar jika tidak mendapat ikan akibat selut.
Beberapa orang nelayan di Jelutong bersiap sedia untuk turun ke laut namun dalam hati mereka gusar jika tidak mendapat ikan akibat selut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulau buatan lenyapkan nelayan Pulau Pinang

Beliau berkata, bagi mendapat gambaran menyeluruh tentang sesebuah projek, kerajaan negeri perlu melihat dari pelbagai aspek.

"Setiap projek akan mempunyai kesan positif dan negatif, sama seperti PSR. Antara kebaikannya ialah bakal menjana pembangunan ekonomi 50 tahun akan datang dan sebagai kesinambungan pembangunan industri, namun negatifnya ialah ekologi kehidupan nelayan akan terjejas.

"Bagaimanapun, melalui syarat yang diberikan, kerajaan negeri perlu melaksanakan langkah mitigasi bagi menangani kesan ke atas komuniti nelayan dengan mewujudkan task force nelayan dan menyediakan exit plan serta Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) yang telah dilaksanakan sejak 2016 lagi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Projek tambak laut musnahkan kampung nelayan

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Noraisyah Abu Bakar ketika dihubungi berkata, Jabatan Perikanan Malaysia telah mengemukakan ulasan dan pendirian dari segi teknikal perikanan berhubung PSR melalui Penilaian Impak Perikanan yang mana ia telah dikemukakan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar Putrajaya tahun lalu.

Rosinah pulang dengan kehampaan kerana hasil tangkapan yang diperoleh sekadar cukup-cukup makan.
Rosinah pulang dengan kehampaan kerana hasil tangkapan yang diperoleh sekadar cukup-cukup makan.

Pada 4 Jun lalu, JAS memberi 72 syarat menerusi surat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk DEIA bagi pembinaan PSR.

Antara syarat tersebut ialah kajian teknikal terperinci dan mendapatkan ulasan daripada Jabatan Teknikal sebelum dilaksanakan serta langkah mitigasi mengikut nasihat teknikal daripada jabatan berkaitan terutamanya Jabatan Perikanan Malaysia bagi menangani impak projek ke atas sumber perikanan dan komuniti nelayan.

Sementara itu, April lalu, MPFN bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk melaksanakan PSR yang disusuli dengan 18 nasihat.

Laporan EIA bagi projek PSR dihantar kepada JAS pada pertengahan Jun lalu, selepas ia dibentangkan kepada awam selama sebulan bermula April.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus