Sidang DUN Negeri Sembilan 'panas'

Suasana ketika kekecohan pada sidang DUN Negeri Sembilan pagi tadi.
Suasana ketika kekecohan pada sidang DUN Negeri Sembilan pagi tadi.
A
A
A

SEREMBAN - Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang ke-14 hari ini kecoh seketika gara-gara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang bertikam lidah.

Keadaan tegang itu berlaku apabila Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Senaling) mengenai peruntukan yang disalurkan kepada sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK).

Bagaimanapun penjelasan Aminuddin (PKR-Sikamat) disifatkan tidak menjawab soalan lisan Adnan sehingga beberapa wakil rakyat pembangkang mengulangi soalan sama antaranya Noor Azmi Yusuf (BN-Pertang).

Ng Chin Tsai (DAP-Temiang) kemudiannya dilihat bangun dan meninggikan suara kepada Noor Azmin sebelum Datuk Abd Razak Ab Said (BN- Gemas) turut bangun dan mendakwa perbuatan Chin Tsai sebagai kurang ajar.

Kejadian itu menyebabkan suasana menjadi kecoh sebelum ditenangkan oleh Speaker DUN, Datuk Zulkefly Mohamad Omar.

Zulkefly turut memberi amaran bahawa beliau tidak akan teragak-agak menghalau mana-mana wakil rakyat keluar dewan sekiranya mengulangi tindakan seperti itu.

"Selepas ini siapa yang merapu-rapu akan diminta keluar.

"Dalam ini semua sahabat saya dan duduk dalam dewan ini untuk memajukan Negeri Sembilan. Buat lagi (kekecohan) kali kedua, tiada lagi simpati," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas keadaan dilihat semakin reda, Chin Tsai mencadangkan supaya kedua-dua mereka secara bersama menarik balik kenyataan yang dikeluarkan dan cadangan itu disambut baik Zulkefly sebelum persidangan DUN diteruskan semula.