Pulau buatan lenyapkan nelayan Pulau Pinang

(Gambar kecil: Peta menunjukkan tiga pulau buatan yang akan dibina di selatan Pulau Pinang.)
(Gambar kecil: Peta menunjukkan tiga pulau buatan yang akan dibina di selatan Pulau Pinang.)
A
A
A

HARI esok yang kelam! Itu masa depan yang diramalkan akan menghimpit lebih 5,000 nelayan pantai di Pulau Mutiara jika Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) bagi membina tiga pulau buatan dilaksanakan kerajaan negeri.

Projek mega penuh kontroversi itu didakwa akan memberi banyak implikasi buruk terutamanya kepada nelayan pesisir pantai di seluruh Pulau Pinang yang sememangnya sudah berdepan dengan pelbagai kesan negatif akibat projek tambak laut terdahulu di negeri itu.

Kesan paling ketara ialah pendapatan mereka terjejas teruk saban tahun ekoran hasil tangkapan ikan, udang, ketam dan sotong yang semakin berkurangan impak daripada projek tambakan demi tambakan yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak 50 tahun lalu di Pulau Pinang.

Berikutan itu, mereka amat bimbang dan membantah sekeras-kerasnya PSR kerana projek tambakan laut pada skala lebih besar itu dilihat akan memburukkan lagi nasib mereka sekali gus boleh diibaratkan seperti menabur pasir ke dalam periuk nasi mereka.

Wartawan Sinar Harian turut mengikuti pasangan nelayan separuh abad, Hamzah Othman dan Rosinah Taib keluar menangkap ikan di sekitar perairan Pulau Pinang bagi menyelami sendiri betapa sukarnya mereka mencari sesuap nasi.

Seawal jam 6 pagi, suami isteri gigih itu sudah keluar dari rumah mereka di perkampungan nelayan Tanjung Teluk Tempoyak sebelum sampan mereka perlahan-lahan membelah gelora lautan, namun ketika matahari terpacak di atas kepala mereka hanya pulang dengan tangkapan ikan yang beratnya tidak sampai dua kilogram dan beberapa ekor udang serta ketam.

Dari kiri: Rosinah, Amzah dan Khoo Salma
Dari kiri: Rosinah, Amzah dan Khoo Salma

Masalah lumpur

Artikel Berkaitan:

Hamzah, 54, berkata, pendapatan setiap bulan yang diraihnya sekarang hanya sekadar cukup-cukup makan dan adakalanya pada hari-hari tertentu hasil tangkapan yang dibawa pulang hanya cukup untuk menampung kos minyak diesel bot mereka sahaja.

Katanya, sejak 10 tahun lalu purata pendapatannya merosot teruk iaitu hanya memperoleh sekitar RM1,000 sebulan berbanding kira-kira RM3,000 sebulan sebelumnya dan ia dipercayai berpunca daripada kesan tambak laut di kawasan Padang Kota Lama dan Tanjung Tokong.

"Hasil tangkapan ikan sekarang memang dah kurang, saya dan Rosinah biasanya cuma dapat antara lima ke enam kilogram ikan setiap kali turun ke laut, udang dengan ketam yang kami dapat juga tak banyak, tak sampai tiga kilogram pun.

"Bukan hasil tangkapan saya saja yang merosot, tapi nelayan-nelayan lain pun turut alami nasib sama," katanya sayu.

Bapa dua anak itu berkata, projek tambak laut yang terletak tidak jauh dari perkampungan nelayan mereka iaitu di Padang Kota Lama dan Tanjung Tokong dipercayai menjadi punca kawasan perairan selatan Pulau Pinang mengalami masalah lumpur.

"Bila berlaku tambak laut, akan ada lumpur, jadi lumpur dari kawasan tambak laut itu dibawa arus ke kawasan perairan kampung menyebabkan ikan dan hidupan laut lain banyak lari.

"Sebab itu saya sangat risau bila dengar PSR nak dibuat tak jauh dari kampung saya kerana masa depan kami nelayan dah nampak kelam. Bila dibuat tambak laut di kawasan ini, tempat ikan membiak akan musnah," katanya yang menghambakan diri sebagai nelayan sejak berusia 20 tahun.

Lokasi pembinaan projek PSR meliputi kawasan perairan sekitar Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Tanjung Teluk Tempoyak dan Permatang Damar Laut dengan keluasannya dianggarkan kira-kira 1,821 hektar iaitu tujuh kali saiz Georgetown.

Di bawah projek itu, kawasan penangkapan hasil laut seperti ikan, ketam dan udang bagi nelayan pantai akan ditambak menyebabkan kawasan itu musnah kerana berada dalam zon penambakan selain sesetengah zon air akan menjadi kawasan larangan untuk nelayan masuk semasa kerja penambakan dilakukan.

Akibatnya, nelayan harus pergi lagi jauh untuk menangkap ikan dan ini seterusnya akan menyebabkan kos minyak semakin mahal dan masa menangkap ikan akan bertambah.

(Atas) Rosinah pulang dengan kehampaan kerana hasil tangkapan yang diperoleh sekadar cukup-cukup makan. (Bawah)Hamzah dan Rosinah sedih melihat pukat benang yang ditahan mereka di perairan Tanjung Teluk Tempoyak, Georgetown, Pulau Pinang hanya memperoleh beberapa ekor ikan, udang dan ketam.
(Atas) Rosinah pulang dengan kehampaan kerana hasil tangkapan yang diperoleh sekadar cukup-cukup makan. (Bawah)Hamzah dan Rosinah sedih melihat pukat benang yang ditahan mereka di perairan Tanjung Teluk Tempoyak, Georgetown, Pulau Pinang hanya memperoleh beberapa ekor ikan, udang dan ketam.

Terpaksa tangkap ikan guna bubu

Seorang nelayan Rosinah Taib, 56, berkata, sebagai ikhtiar menambah pendapatan, sejak enam bulan lalu mereka turut menahan bubu selain menggunakan pukat benang."Kami dulu bergantung pada hasil daripada pukat benang untuk menangkap udang dan ikan tapi sejak udang dan ikan pun makin kurang kebelakangan ini, kami tahan bubu pula. Tapi guna bubu pun kadangkala tak banyak ikan yang mengena sebab hasil laut dah berkurangan di kawasan ini kesan tambak laut sedia ada.

"Sebab itu saya merayu agar projek PSR dibatalkan kerana sudah tentu kami akan hilang mata pencarian jika projek ini diteruskan pelaksanaannya," kata Rosinah yang telah bergelar nelayan sejak berusia 12 tahun lagi.