Vape pembunuh senyap

Fisher terpaksa bergantung dengan mesin ECMO dan tempoh pemulihannya mengambil masa yang panjang.
Fisher terpaksa bergantung dengan mesin ECMO dan tempoh pemulihannya mengambil masa yang panjang.
A
A
A

GEJALA seperti demam panas, muntah-muntah dan cirit-birit yang dialami Gregory Rodriguez disangka berpunca daripada serangan pepijat.

Lelaki itu kemudiannya segera ke unit kecemasan di sebuah hospital di New York pada September lalu.

Dua hari kemudian, dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terpaksa bergantung kepada paru-paru tiruan.

“Ketika itu, saya tidak fikir ia ada kaitan dengan vaping,” kata penuntut Sains Komputer berusia 22 tahun itu.

Doktor melihat keadaan itu berpunca daripada penggunaan rokok elektronik secara berterusan.

Tetapi, pakar perubatan kecemasan di kawasan kejiranannya di South Jamaica di Queens tidak segera mengaitkannya dengan penggunaan rokok elektronik dan hanya diberikan antibiotik kerana menyangka Rodriguez terkena jangkitan.

Dia kemudiannya kembali ke hospital kerana tidak boleh bernafas dan mengaku telah menghisap ganja menggunakan vape selama dua tahun.

“Pada mulanya, saya teragak-agak untuk memberitahu mereka bahawa saya menghisap vape kerana THC yang merupakan sebatian kimia dalam ganja masih haram di New York,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada 18 September lalu, tubuhnya terus tidak berfungsi dan terpaksa bergantung kepada ventilator, namun ia masih tidak mencukupi.

Paru-parunya dipenuhi bahan likat seperti kastard akibat keradangan pada saluran pernafasannya hingga menyebabkan oksigen tidak dapat memasuki aliran darahnya.

“Dia hampir mati,” jelas Pengarah Perubatan Jagaan Kritikal di Northwell Health, Dr Mangala Narasimhan yang merawatnya.

Sebagai pilihan terakhir, doktor menggunakan mesin sokongan extracorporeal membrane oxygenation (ECMO) yang mengepam keluar darah dari tubuh pesakit untuk tujuan mengoksigenkannya yang kemudiannya dialirkan semula ke dalam urat.

Rodriguez terpaksa diletakkan dalam keadaan koma selama tiga hari untuk memastikan dia tidak mengalami sebarang masalah ketika prosedur tersebut.

“Apabila saya sedar, terdapat tiub di dalam mulut saya yang disambungkan pada paru-paru,” katanya ketika mengimbas semula kejadian itu.

Paru-parunya dapat dipulihkan dengan bantuan mesin itu dan dia tidak lagi memerlukan pemindahan paru-paru.

Lelaki tersebut dapat pulang semula ke rumah selepas dirawat selama 12 hari di hospital, satu tempoh masa yang singkat berbanding pesakit lain yang mempunyai kes sama.

Di Long Island Jewish Medical Center, lima daripada 40 pesakit juga berada dalam keadaan serius sama seperti Rodriguez.

Setakat ini, sebanyak 47 kematian dikaitkan dengan vape direkodkan di Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini selain 2,290 kes berkaitan rokok elektronik tersebut dilaporkan di seluruh negara.

Sebanyak 47 kematian direkodkan akibat vape di seluruh AS.
Sebanyak 47 kematian direkodkan akibat vape di seluruh AS.

Hampir ragut nyawa

Seorang remaja di Britain juga hampir menemui ajal akibat vape kerana ia memberi kesan serius kepada paru-parunya.

Ewan Fisher terpaksa menggunakan paru-paru tiruan untuk memastikan dia terus hidup selepas dia tidak lagi boleh bernafas.

“Vape telah musnahkan hidup saya. Rakan saya juga enggan percaya tentang kesan buruknya walaupun mereka sudah lihat sendiri apa yang berlaku kepada saya. Adakah anda wajar mempertaruhkan nyawa semata-mata kerana vape?” katanya dengan nada kesal.

Menurutnya, dia mula menggunakan rokok elektronik pada awal 2017 ketika berusia 16 tahun dan tujuan asalnya adalah untuk berhenti merokok.

“Kesannya mula terasa pada Mei tahun sama. Saya alami batuk-batuk dan tercekik ketika sedang tidur yang mengganggu pernafasan saya secara berterusan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Dr Jayesh Bhatt di Nottingham University Hospitals memberitahu Fisher mengalami kegagalan pernafasan yang sangat serius akibat vape.

Bukan alternatif sihat

Informasi yang salah tentang vape menyebabkan perokok menganggap e-rokok sebagai alternatif kepada tembakau kononnya sebagai usaha untuk meninggalkan tabiat tidak sihat itu.

E-rokok membolehkan pengguna menyedut nikotin dalam bentuk wap dan bukan seperti asap rokok yang membakar tembakau dan menghasilkan tar.

Sebelum ini, Public Health England mendakwa vape adalah 95 peratus lebih selamat berbanding tembakau tradisional malah ia menggalakkan perokok untuk bertukar kepada rokok elektronik.

Tabiat merokok didakwa boleh meningkatkan kadar denyutan jantung, menyempitkan arteri utama dan degupan jantung tidak teratur yang boleh meningkatkan tekanan darah, risiko strok dan serangan jantung.

Bagaimanapun, 'vaping' juga dikatakan boleh meletakkan situasi bagi mendapat penyakit jantung sama seperti merokok selepas ia didakwa boleh menyebabkan kecederaan paru-paru yang teruk.

Kecederaan paru-paru yang dialami empat pesakit yang didakwa berpunca daripada tabiat 'vaping'.
Kecederaan paru-paru yang dialami empat pesakit yang didakwa berpunca daripada tabiat 'vaping'.

Saintis masih tidak pasti mengapa e-rokok boleh menyebabkan perubahan sama terhadap kesihatan jantung walaupun ia mengandungi kurang bahan kimia berbahaya berbanding rokok tradisional.

Awal bulan lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) di AS mengeluarkan laporan baharu yang mendakwa vitamin E asetat ditemukan dalam sebahagian besar sampel paru-paru individu yang menderita penyakit berkaitan vape yang telah menjejaskan lebih 2,000 pesakit.

CDC menemukan vitamin E asetat pada sampel paru-paru yang diambil daripada 29 pesakit manakala majoriti sampel daripada pesakit di 25 negeri di AS mengandungi THC.

“Ini adalah pertama kali kami mengesan bahan kimia berpotensi pada sampel biologi daripada pesakit yang mengalami kecederaan paru-paru. Ia menunjukkan vitamin E asetat sebagai punca utama masalah itu,” jelasnya dalam satu kenyataan sambil menambah siasatan lanjut tentang perkara itu masih dilakukan.

E Asetat adalah sejenis vitamin E yang sering digunakan dalam produk kecantikan wajah dan kini menjadi bahan popular berbahaya dalam kalangan penghisap vape. - Agensi