23 maut pesawat terhempas di Republik Demokratik Congo

Orang ramai berkumpul di lokasi nahas pesawat itu terhempas di kawasan kejiranan Mapendo di bandar Goma.
Orang ramai berkumpul di lokasi nahas pesawat itu terhempas di kawasan kejiranan Mapendo di bandar Goma.
A
A
A

BRAZZAVILLE - Sekurang-kurangnya 23 terbunuh selepas sebuah pesawat kecil terhempas di kawasan perumahan padat di bandar Goma, timur Republik Demokratik Congo hari ini.

Datuk Bandar Goma, Timothee Muissa Kiesse berkata, nahas pesawat Dornier-228 milik syarikat penerbangan peribadi, Busy Bee itu berlaku di kawasan kejiranan Mapendo selepas pesawat itu dilaporkan 'hilang' sejurus ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Goma.

"Pesawat yang membawa 19 penumpang termasuk dua kru itu dalam perjalanan ke Beni terletak kira-kira 350 kilometer di utara Goma.

"Punca nahas masih disiasat tetapi beberapa sumber menyatakan pesawat itu mengalami kegagalan enjin kira-kira seminit selepas ia berlepas," kata jurucakap lapangan terbang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dilakukan dan jumlah korban dijangka meningkat.

Nahas udara sering berlaku di negara itu kerana standard keselamatan dan penyelenggaraan yang lemah hingga menyebabkan penerbangan komersial di Republik Demokratik Congo dilarang beroperasi di Kesatuan Eropah (EU). - AFP

Artikel Berkaitan: