39 migran maut dalam trak: Seorang lagi individu didakwa

Kesemua mayat itu ditemukan dalam kontena di Grays, Essex pada 23 Oktober lalu.
Kesemua mayat itu ditemukan dalam kontena di Grays, Essex pada 23 Oktober lalu.
A
A
A

LONDON - Seorang lelaki berusia 23 tahun didakwa dengan kesalahan pemerdagangan manusia yang dikaitkan dengan kematian 39 warga Vietnam yang ditemukan mati dalam trak peti sejuk di Britain pada bulan lalu.

Christopher Kennedy dari Armagh di Ireland Utara dijangka tampil di Mahkamah Majistret Chelmsford di Essex, tenggara England pada esok.

Dia yang ditahan kelmarin berdepan tuduhan terlibat konspirasi untuk mengatur perjalanan kesemua mangsa dengan tujuan eksploitasi dan berkomplot melanggar undang-undang imigresen UK.

Sebelum ini, pemandu trak itu, Mo Robinson, 25, dari Ireland Utara telah dihadapkan ke mahkamah dan didakwa dengan 39 pertuduhan membunuh, komplot pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram.

Dia juga dijadualkan hadir di sebuah mahkamah di London pada esok.

Seorang lagi individu dari Belfast, Eamonn Harrison, 22, menghadapi prosiding ekstradisi atas tuduhan sama tampil di mahkamah di Dublin pada Khamis lalu.

Kes itu bagaimanapun ditangguhkan sehingga 12 Disember depan.

Selain itu, tiga individu lain juga telah ditahan, disoal siasat dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Artikel Berkaitan:

Bulan lalu, Polis Essex meminta dua adik beradik dari Ireland Utara memberi maklumat tentang kes dan turut menggesa mereka menyerah diri kepada pihak berkuasa. - AFP