X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

PM Britain umum manifesto Parti Konservatif

Johnson tetap mahu melaksanakan Brexit selepas ia ditangguhkan sebanyak tiga kali sebelum ini.
A
A

LONDON - Perdana Menteri Britain, Boris Johnson hari ini mengumumkan manifesto Parti Konservatif yang berikrar untuk merealisasikan Brexit pada akhir Januari depan dan melaksanakan langkah penjimatan dalam usaha meraih sokongan pengundi pada pilihan raya pada 12 Disember depan.

Parti itu berjanji untuk mengembalikan semula rang undang-undang Perjanjian Brexit di Parlimen sebelum 25 Disember depan jika Konservatif mendapat majoriti kerusi dalam Dewan Perwakilan dalam pemilihan tersebut.

Matlamat mereka ialah memastikan ahli Parlimen meratifikasi perjanjian Brexit dicapai Johnson bersama Kesatuan Eropah (EU) sebelum tarikh akhir pada 31 Januari depan.

Difahamkan, rang undang-undang tersebut telah diluluskan ketika bacaan kedua pada bulan lalu.

Kandungan manifesto kerajaan Tori itu termasuk janji untuk menyediakan parkir percuma untuk golongan tertentu di hospital, melabur lebih banyak dalam Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS), sekolah dan menangani kes jenayah serta melarang eksport sisa plastik kepada negara bukan anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Ketika bercakap menjelang pelancaran manifesto itu, bekas Datuk Bandar London itu menyatakan agenda Satu Negara akan menyatukan negara itu untuk beberapa tahun akan datang.

Selain itu, antara kandungan manifesto yang bakal meraih sokongan adalah janji untuk tidak menaikkan cukai nilai tambah (VAT) dan Insurans Nasional selama lima tahun yang pernah dibuat bekas Perdana Menteri, David Cameron pada 2015. - Agensi


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!