X

Kindly register in order to view this article
!

Ahmad Zahid dakwa pemimpin UMNO lompat parti kini menyesal

Ahmad Zahid
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa beberapa pemimpin UMNO yang meninggalkan parti itu kini sudah menyesal dengan tindakan mereka.

Memetik laporan sebuah portal berita, Ahmad Zahid berkata, individu berkenaan kini tidak dipedulikan oleh masyarakat selepas melakukan perbuatan tersebut dan menyertai Pakatan Harapan.

“Ada dalam kalangan mereka balik ke kawasan, negeri, solat Jumaat, tidak ada orang pedulikannya.

“Selepas solat Jumaat, tiada orang mahu bersalam, seolah-olah ada najis mughallazah, yang paling ringan ialah najis bayi,” katanya ketika berucap di Pelancaran Muafakat Nasional Selangor di Dewan KKC D’Laman Cinta Jalan Kebun.

Mengimbas kembali kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya yang lalu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, tindakan pemimpin UMNO yang meninggalkan parti tersebut pada akhirnya mendatangkan kebaikan kerana dapat membersihkan parti itu.

“Reptilia diwujudkan dalam kalangan Ahli Parlimen, katak yang paling jauh lompatannya sambil melompat, kencing, adalah katak pisang. Itu pun kita maafkan.

“UMNO rasa mereka yang melompat di sana ada hikmahnya. kekotoran terkeluar dan terbersih dengan cara sendirinya apabila mereka berada di sana.

“Saya tahu mereka menyesal, Tan Sri Noh Omar (Ahli Majlis Tertinggi UMNO) tahu, kawan-kawan kita itu juga berjumpa, mereka mahu masuk kembali.

"Tapi saya kata di dalam Islam, dari segi munakahat, hukum pernikahan talak ada tiga, talak satu, talak dua boleh rujuk. Talak ketiga, tak boleh rujuk ada prosesnya,” katanya.

BN yang memenangi 79 kerusi semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kini hanya tinggal 41 kerusi selepas beberapa wakil rakyatnya meninggalkan UMNO menyertai PH.

Tidak kurang 17 Ahli Parlimen dari UMNO keluar parti selepas kalah pada PRU lalu dan kebanyakannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustafa Mohamad; Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).

Selain itu, Datuk Rozman Isli (Labuan), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing).

Turut tersenarai Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Abd Rahim Bakri (Kudat), Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipatang).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus