X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Amanah akan terima nasib yang sama: Abdul Hadi

Abdul Hadi (duduk, tengah) bergambar bersama peserta dialog di Hotel Putra di sini hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Perjuangan Pas akan kekal utuh meskipun ada presiden parti itu meninggal dunia atau keluar daripada parti berkenaan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia terbukti sehingga kini parti itu sudah dipimpin sembilan ketua dan perjuangan mereka tetap konsisten.

Menurutnya, meskipun ada cubaan untuk memecahbelahkan parti dengan menubuhkan parti serpihan namun ia tidak bertahan lama.

"Pas terus konsisten dengan perjuangan dia (parti) bahkan yang cuba hendak cuba-cuba pecahkan Pas tetapi Pas terus kuat teguh.

"Yang pecah itu (tubuhkan parti lain) mati satu demi satu. Dulu Parti Islah, Hamim (Parti Hizbul Muslim Malaysia) dan Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia).

"Amanah (Parti Amanah Negara) juga akan terima nasib yang sama. Pas akan terus (berjuang)," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Hi Tea dan Dialog Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pelbagai Kaum dan Agama di Hotel Putra di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Amanah ramal nasib Pas selepas ketiadaan Hadi

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad yang Pas tiada hala tuju yang jelas jika Abdul Hadi tidak lagi memimpin parti itu.

Ditanya lebih lanjut mengenai kenyataan dikeluarkan Khalid yang juga merupakan bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Abdul Hadi menyifatkan ia pandangan peribadi Ahli Parlimen Shah Alam.

"Dia (Khalid) untuk menunjukkan perasaan dia sahaja," katanya.

Terdahulu, Khalid pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Amanah Kelantan Kali Ke-4 2019 di Kota Bharu, Kelantan, semalam dilaporkan berkata, Pas kini tidak mempunyai mesej yang jelas kepada ahlinya selepas mengadakan muafakat bersama UMNO dan hanya dianggotai ahli yang benar-benar taat kepada parti itu sahaja.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!