X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Bayi Palestin cedera dibaling batu

Kepala Mohammad Hasan Tanina, 18 bulan, cedera dalam kejadian tersebut.
A
A

RAMALLAH - Seorang bayi Palestin mengalami kecederaan pada kepalanya selepas diserang beberapa pelampau Yahudi di bawah perlindungan tentera rejim Zionis dalam kejadian di selatan Tebing Barat.

Agensi berita Palestin melaporkan pelampau Yahudi terbabit menyerbu bandar al-Khalil terletak kira-kira 30 kilometer di selatan Baitulmaqdis semalam dan bertindak membaling batu ke arah pejalan kaki, penduduk dan peniaga.

Bayi terbabit dikenal pasti sebagai Mohammad Hasan Tanina turut menjadi sasaran selepas kediaman keluarganya di kawasan kejiranan Tel Rumeida diserang kumpulan terbabit.

Menurut Persatuan Palang Merah Palestin (PRCS), petugas mereka bertindak segera memindahkan bayi berusia 18 bulan itu ke Hospital Kerajaan al-Khalil untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Saksi mendakwa tentera rejim Zionis hanya berdiam diri apabila melihat kejadian tersebut yang turut menyebabkan empat yang lain termasuk orang kurang upaya cedera.

Terdahulu, pihak berkuasa Israel bertindak menutup Masjid Ibrahimi di al-Khalil kepada orang Islam selepas ribuan pelampau Yahudi berkumpul untuk upacara keagamaan mereka.

Kelmarin, beberapa kenderaan milik penduduk Palestin dibakar dan tayar dipancitkan selain bangunan diconteng dalam kejadian serangan berasingan di empat perkampungan berhampiran bandar Nablus dan Ariel di Tebing Barat. - Agensi


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!