X

Kindly register in order to view this article
!

Guan Eng beri masa kepada Tuan Ibrahim

Guan Eng bersalaman dengan penerima wang sumbangan tadi.
A
A

BUTTERWORTH - [VIDEO] Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan memberi masa kepada Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk memohon maaf berhubung dakwaan palsu dan fitnah jahat yang dilemparkan terhadap dirinya.

Menurutnya, kenyataan berkenaan adalah berniat jahat kerana dibuat tanpa fakta tepat.

Tambahnya, sehingga kini beliau belum menerima sebarang maklum balas daripada Tuan Ibrahim.

Guan Eng bagaimanapun berkata, beliau tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin Pas itu.

"Tak ada apa-apa. Saya belum terima (permohonan maaf) dari beliau. Saya beri dia masa untuk berbuat demikian kerana apa yang diperkatakan itu tidak berasas dan tidak berdasarkan fakta.

"Tunggu dulu lah. Saya tidak akan mengambil tindakan undang-undang untuk waktu ini," katanya kepada media ketika hadir pada Program Bayaran Akhir Kepada Warga Emas, Ibu Tunggal dan Ibu Emas 2019 di Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) Taman Lucky di sini tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, jika Pas mahu menjatuhkannya, ia perlu dilakukan berdasar fakta dan bukan kerana agama.

"Jika nak jatuhkan saya, buatlah berdasarkan fakta. Bukannya dibuat hanya kerana saya bukan Islam. Bila kita minta bukti, dia tak boleh bagi.

"Apa yang diperkatakan, tidak betul. Mengapa perlu putar belit fakta? Jika benar beretika dan bermoral dia harus mohon maaf kepada saya," katanya.

Terdahulu, Guan Eng mendakwa Tuan Ibrahim melemparkan fitnah bahawa beliau gagal sebagai Menteri Kewangan berdasarkan corak belanjawan negara kerana memperuntukkan sebanyak RM10 bilion untuk pembangunan Pulau Pinang tetapi hab halal hanya RM10 juta.

Selain itu, Tuan Ibrahim turut didakwa menyatakan bahawa peruntukan yang diagihkan oleh Kementerian Kewangan tidak menunjukkan keseimbangan terutama melibatkan negeri pantai timur.

Sebelum itu, Tuan Ibrahim menyarankan Guan Eng antara menteri yang perlu digugurkan jika Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melakukan rombakan Kabinet.

Guan Eng ketika diminta mengulas mengenai rombakan Kabinet berkata, rundingan dan perbincangan lebih terperinci akan diadakan berhubung perkara itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!