LKIM kaji bantuan bulanan nelayan uzur

Muhammad Faiz (dua dari kiri) beramah mesra dengan nelayan semasa hadir ke Majlis Ramah Mesra Penduduk Perumahan Nelayan Tok Bali.
Muhammad Faiz (dua dari kiri) beramah mesra dengan nelayan semasa hadir ke Majlis Ramah Mesra Penduduk Perumahan Nelayan Tok Bali.
A
A
A

PASIR PUTEH - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang mengkaji bagi mewujudkan bantuan bulanan untuk golongan nelayan yang uzur dan sakit serta tidak mampu untuk turun ke laut.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kajian menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu kerana ia melibatkan perundangan berkaitan dengan aspek kewangan.

“Kita juga sedang mencari kaedah terbaik berhubung perkara ini selain mengadakan pertemuan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Kebajikan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkait soal caruman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Penduduk Perumahan Nelayan Tok Bali di sini hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya ketika ini sedang meneliti beberapa langkah awal yang boleh diambil bagi membantu golongan berkenaan.

Katanya, kebanyakan golongan nelayan ini tidak mempunyai caruman seperti pekerja-pekerja lain.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz memberi jaminan bekalan ikan sepanjang musim tengkujuh dijamin mencukupi bagi menampung permintaan orang ramai.

Katanya, orang ramai tidak perlu khuatir kerana LKIM mempunyai peti sejuk yang cukup untuk menyimpan bekalan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga berharap agar ‘orang tengah’ dan peniaga-peniaga besar tidak menaikkan harga ikan sepanjang musim tengkujuh.

“Mereka juga perlu memikirkan soal tanggungjawab sosial (CSR) kepada masyarakat dengan menjual ikan pada harga yang berpatutan,” katanya.