Mahu pinjam RM30,000 tapi rugi RM33,980

Penasihat kesihatan sebuah hospital terpedaya pinjaman wang tidak wujud di Facebook. (Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof)
Penasihat kesihatan sebuah hospital terpedaya pinjaman wang tidak wujud di Facebook. (Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof)
A
A
A

KUANTAN - Gara- gara mahu membuat pinjaman peribadi, seorang penasihat kesihatan sebuah hospital rugi kira-kira RM33,980 selepas diperdaya dalam urusan pinjaman wang tidak wujud di Facebook, Khamis lalu.

Mangsa yang berusia 35 tahun itu diperdaya ahli sindiket penipuan selepas berhasrat membuat pinjaman berjumlah RM30,000 daripada syarikat pinjaman wang terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik dengan tawaran pinjaman wang daripada syarikat itu selepas melayari internet pada jam 11.30 pagi.

Menurutnya, mangsa berurusan dengan seorang lelaki yang juga ejen syarikat pinjaman wang berkenaan.

"Pada mulanya mangsa diminta untuk menghantar salinan kad pengenalan, slip gaji dan bil elektrik bagi tujuan dokumentasi.

"Suspek kemudian meminta mangsa membuat pembayaran 'stamping fees' sebanyak RM600 dan RM2,170 sebagai wang jaminan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa memasukkan wang itu ke dalam akaun yang diberikan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Ambank Jalan Beserah Kuantan.

"Mangsa kemudian memasukkan lagi wang berjumlah RM33,980 dengan tujuh transaksi atas pelbagai alasan pinjaman ke dalam empat akaun berbeza seperti diminta suspek.

Artikel Berkaitan:

"Setelah memasukkan wang berkenaan, mangsa mula sedar bahawa dia ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan," katanya.

Mohd Wazir berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.