Muhammad dilantik Pengerusi Amanah Kelantan

Muhammad semasa menyampaikan ucapan di kongres tersebut.
Muhammad semasa menyampaikan ucapan di kongres tersebut.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Muhammad Hussin dipilih menjadi Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan bagi sesi 2019-2022 dalam Konvensyen Amanah Negeri yang diadakan di Crystal Avenue di sini semalam.

Pelantikan tersebut bagi menggantikan Datuk Wan Rahim Wan Abdullah yang mengumumkan hasrat untuk melepaskan jawatan tersebut sejak beberapa bulan yang lalu.

Turut dilantik, Che Ibrahim Mohamed yang kini memegang jawatan Timbalan Pengerusi manakala Naib Timbalan 1 ialah Rushdan Mustafa dan Naib Timbalan 2 ialah Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah.

Che Ibrahim berkata, pemilihan kali ini agak berbeza kerana ia dilakukan secara berperingkat.

“Peringkat pertama, perwakilan perlu memilih 17 calon daripada 54 yang layak bertanding. Selepas dipilih, 17 calon tersebut pula akan bermesyuarat bersama ketua-ketua kawasan, ketua pemuda dan sebagainya.

“Keputusan mesyuarat tersebutlah yang menentukan siapakah yang akan menjadi Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Muhammad (empat dari kiri) bersama kepimpinan baharu Amanah Kelantan sesi 2019-2022.
Muhammad (empat dari kiri) bersama kepimpinan baharu Amanah Kelantan sesi 2019-2022.

Muhammad dan Che Ibrahim dipilih bersama 15 calon lain iaitu Wan Ahmad Kamil, Nik Omar Nik Abdul Aziz, Hashim Mohammad, Zaidi Abd Halim, Sanusi Othman dan Zahari Mohd Sidik.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Mohd Noor Mat Yazid, Rushdan Mustapha, Omran Sidik, Zainal Abidin Husin, Wan Mohd Jahari W Omar, Tan Ah Hwa, Hisyam Fauzi, Syaifol Sharimi dan Wan Shajihan Wan Din.

Sementara itu, Wan Rahim ketika berucap di kongres tersebut berkata, beliau bersedia memberi pandangan dan nasihat walaupun kini tidak lagi mengemudi Amanah negeri.

“Saya bersedia menyantuni anda semua dan saya yakin anda semua boleh mengatur satu barisan kepimpinan yang mampu membawa Amanah melangkah jauh lebih baik selepas ini,” katanya.

Kongres Amanah Kelantan itu terdahulunya dirasmikan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan dihadiri oleh Naib Presiden Amanah, Senator Datuk Husam Musa.