Tourism Johor fokus promosi digital

Cai Tung merasmikan Program Meraikan Hari Kanak-kanak di Hospital Pakar KPJ Puteri di sini semalam.
Cai Tung merasmikan Program Meraikan Hari Kanak-kanak di Hospital Pakar KPJ Puteri di sini semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peruntukan RM15 juta yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2020 khusus bagi mempromosi Tahun Melawat Johor 2020 diakui mencukupi dan merupakan jumlah terbesar dalam sejarah pembangunan sektor berkenaan.

Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, semestinya ia juga dilihat angka terbaik dalam usaha kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk memantapkan lagi promosi yang mahu dijalankan.

Menurutnya, langkah promosi terbaharu yang mahu diberi perhatian Tourism Johor kali ini adalah dengan memberi fokus kepada kerjasama bersama mereka yang berpengaruh dalam media sosial mahu pun bidang digital.

"Pengaruh teknologi digital dilihat mampu menarik pelancong yang menjadikan media sosial sebagai sumber mendapatkan informasi sesuatu lokasi.

"Pada peringkat awal, sesi pertemuan antara kerajaan negeri dan personaliti media sosial ini akan diadakan supaya golongan berkenaan mendapat maklumat mengenai destinasi pelancongan di Johor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Program Meraikan Hari Kanak-kanak di Hospital Pakar KPJ Puteri di sini semalam.

Cai Tung berkata, selain promosi bagi sektor digital, kerajaan negeri juga dilihat berupaya menambah baik kemudahan di kawasan terpilih serta fokus kepada program-program berteraskan pelancongan Johor pada tahun hadapan.

"Dengan peruntukan yang ada juga kita juga mempunyai kewangan yang cukup untuk mengembangkan lagi produk-produk atau promosi yang sebelum ini pernah kita adakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 baru-baru ini memaklumkan peruntukan berkenaan akan memberi fokus kepada penambahbaikan infrastruktur pelancongan, aspek promosi dan penganjuran acara pelancongan.