Restoran di Kuantan kotor diarah tutup

Keadaan rak tempat simpanan bahan masakan di ruang dapur restoran berkenaan yang kotor dan menjijikkan. - Foto Ihsan MPK
Keadaan rak tempat simpanan bahan masakan di ruang dapur restoran berkenaan yang kotor dan menjijikkan. - Foto Ihsan MPK
A
A
A

KUANTAN - Sebuah restoran di Jalan Air Putih di sini diarah tutup selama dua minggu selepas pemiliknya gagal mengambil berat aspek kebersihan penyediaan makanan dan tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Restoran berkenaan antara sembilan premis yang diperiksa dalam operasi bersepadu antara Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan kelmarin.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Nor Kamawati Kamal berkata, arahan penutupan premis berkenaan dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pemilik diarah melakukan pembersihan dalam tempoh itu.

Menurutnya, pada operasi itu, lima kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis yang didapati tidak mematuhi Undang-undang Kecil Pengendalian Makanan (MPK) 1983 termasuk tidak menjalankan pemeriksaan kesihatan.

"MPK sentiasa mengambil perhatian serius bagi memastikan pengendali premis gerai dan restoran mengikut prosedur penyediaan makanan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

"Pengendali premis makanan wajib mengambil berat berkenaan aspek kebersihan penyediaan makanan dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nor Kamawati berkata, MPK melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas kenderaan yang diletakkan di sepanjang jalan hadapan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Artikel Berkaitan:

Notis arahan penutupan premis yang dikeluarkan ke atas restoran kotor yang dikesan pada ops bersepadu dijalankan MPK dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan sekitar Jalan Air Putih kelmarin.(Gamabr kecil: Nor Kamawati Kamal) - Foto Ihsan MPK
Notis arahan penutupan premis yang dikeluarkan ke atas restoran kotor yang dikesan pada ops bersepadu dijalankan MPK dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan sekitar Jalan Air Putih kelmarin.(Gamabr kecil: Nor Kamawati Kamal) - Foto Ihsan MPK

"Kenderaan akan ditunda dan ditempatkan di Dataran Kuantan bersebelahan Kompleks Ibu Pejabat MPK. Pemilik boleh menuntut semula kenderaan tersebut sebelum jam 5 petang pada hari yang sama.

"Caj RM100 bagi setiap kesalahan dikenakan dan geran kenderaan atau laporan polis juga perlu dikemukakan pemilik semasa proses tuntutan," katanya.

Katanya, sehingga 22 November lalu sebanyak 150 notis dikeluarkan dan 10 kenderaan dialihkan.

"Peringatan kepada orang ramai melalui papan tanda notis 'tunda' dinaikkan pada awal bulan November lalu di lokasi berkenaan.

"Tindakan penguatkuasaan itu terpaksa dilaksanakan selepas ramai yang mengambil sikap tidak endah apabila masih meletakkan kenderaan di situ," katanya.