Wan Kuzain tidak tersenarai ke sukan SEA

Wan Kuzain - Foto fail
A
A

BINTANG muda negara yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal terpaksa digugurkan daripada senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA Filipina, yang bermula 24 November ini, susulan masalah dokumentasi yang dihadapi pemain berusia 21 tahun itu.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan masalah dokumentasi pemain kelahiran Carbondale, Illinios, Amerika Syarikat itu tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain yang tamat pada hari ini.

Wan Kuzain yang mewakili kelab Liga Bola Sepak Utama (Major League Soccer) Amerika Syarikat, Sporting Kansas City, dilaporkan tiba di tanah air pada 17 November lalu, sebelum melaporkan diri kepada Kim Swee untuk sesi latihan bersama skuad B-22 negara, di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya, sehari kemudian.

Bernama difahamkan urusan dokumentasi Wan Kuzain dijangka memerlukan masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk diselesaikan.

Dalam pada itu, ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mengekalkan tujuh pemain yang membantu Malaysia meraih pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, termasuk pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Adam Nor Azlin, 23, dan pemain pertahanan Kuala Lumpur, Muhammad Irfan Zakaria, 24, yang mengisi dua kuota pemain lebih umur 22 tahun.

Lima pemain lain adalah penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli, Mohamed Syamer Kutty Abba, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Muhammad Danial Amier Norhisham dan Muhammad Syahmi Safari.

Kim Swee yang bakal membuat penampilan kali kelima selaku jurulatih skuad B-22 negara pada Sukan SEA kali ini, turut menyenaraikan tiga pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD), termasuk penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsudin.

Untuk rekod, Kim Swee, 49, mula mengendalikan skuad B-22 negara sejak edisi 2011 di Indonesia, 2013 (Myanmar), 2015 (Singapura), serta pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A, akan membuka saingan berdepan Myanmar pada 25 November, Filipina (29 November), Timor Leste (2 Disember), sebelum melengkapkan aksi pusingan awal menentang Kemboja pada 4 Disember.

Juara bertahan, Thailand pula mengetuai saingan Kumpulan B bersama lima pasukan lain, iaitu, Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei.

Tiga stadium menjadi venue perlawanan bola sepak Sukan SEA 2019 iaitu Stadium Memorial Rizal di Manila, Stadium Binan di Laguna, dan Imus Grandstand and Track Oval di Cavite.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir yang dijadual pada 7 Disember, manakala perlawanan penentuan pingat gangsa dan aksi final dijadual berlangsung pada 10 Disember, iaitu sehari sebelum upacara penutup Sukan SEA 2019.

Senarai akhir 20 pemain:

Penjaga gol: Muhammad Haziq Nadzli (JDT), Damien Lim Chien Khai (PKNS FC)

Pemain Pertahanan: Adam Nor Azlin (JDT), Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni (Kelantan), Harith Haiqal Adam Afkar (AMD), Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Dominic Tan Jun Jin (Police Tero FC)

Pemain Sayap: R. Dinesh (Pahang), Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan (AMD), Quentin Cheng (Central Coast Mariners B-21), Muhammad Syahmi Safari (Selangor)

Pemain Tengah: Mohamed Syamer Kutty Abba (JDT), Muhammad Danial Hakim Draman dan Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Muhammad Danial Amier Norhisham (Felda United)

Penyerang: Muhammad Akhyar Abdul Rashid (JDT), Mohamad Faisal Abdul Halim dan M. Kogileswaran Raj (Pahang), Luqman Hakim Shamsudin (AMD), Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (Fagiano Okayama).

-Bernama