'Jangan jadikan tiada peruntukan sebagai alasan'

Tung Siong
Tung Siong
A
A
A

PONTIAN - Ahli Parlimen Tanjung Piai dari parti pembangkang diingatkan supaya tidak menjadikan alasan ketiadaan peruntukan sebagai halangan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong berkata, Parlimen Tanjung Piai yang terdiri daripada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas dan Kukup menyaksikan hanya DUN Pekan Nanas diwakili wakil Pakatan Harapan (PH).

Katanya, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Tanjung Piai sebagaimana dilakukan penyandang kerusi itu sebelum ini iaitu Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

"Saya sendiri pernah berdepan keadaan tiada peruntukan daripada kerajaan ketika menjadi wakil rakyat DUN Pekan Nanas di zaman pembangkang pada 2013 hingga 2018.

"Saya berusaha memberi khidmat kepada masyarakat walaupun ketika itu tidak dapat satu sen pun peruntukan malah penduduk di sini mesra dan memahami keadaan wakil rakyat pembangkang ketika itu," katanya ketika ditemui di Pejabat ADUN Pekan Nanas di sini.

Tung Siong yang juga Pengerusi DAP Tanjung Piai berkata, peruntukan yang diumumkan ketika musim PRK lepas mempunyai rekod dalam jabatan tertentu seperti pejabat daerah dan beliau akan memastikan projek berkenaan wujud.

"Peruntukan ADUN terhad. Sebelum ini Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik banyak membantu saya. Dulu peruntukan ahli Parlimen banyak, sekarang susah tiada wakil dari pemerintah.

"Bagaimanapun program yang pernah dijalankan sebelum ini seperti membaiki rumah penduduk uzur akan diteruskan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada jentera PH yang bertungkus-lumus selama sebulan sewaktu PRK Tanjung Piai.

"Terima kasih atas usaha setiap jentera yang sentiasa bersemangat membantu sepanjang PRK Tanjung Piai.

"Walaupun keputusan kurang memuaskan, tetapi jika tiada usaha tersebut mungkin keputusan PH lebih teruk," katanya.