SOSMA penting untuk pastikan keselamatan negara terjamin: PM

erdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A

BANGI - Malaysia masih memerlukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.

Tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akta itu diperlukan bagi mengekang sebarang aktiviti keganasan yang boleh boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman negara.

“Banyak isu keselamatan yang terlibat berkaitan SOSMA dan bukan sahaja aktiviti keselamatan seperti kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan Islamic State (IS)," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan ahli keluarga tahanan SOSMA yang mahu akta itu dimansuhkan.

ARTIKEL BERKAITAN: SOSMA: Peruntukan menindas dan kejam perlu dipinda, kata Gobind

SOSMA perlu dimansuh kerana aniaya tahanan tak bersalah

Terbaharu, ahli keluarga tahanan SOSMA berhimpun di luar Parlimen dan menyerahkan memorandum supaya undang-undang yang dikatakan kejam itu segera dimansuhkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang turut hadir bersama kumpulan itu berjanji akan membangkitkan desakan mereka pada mesyuarat kabinet hari ini supaya tindakan segera dapat diambil.

Perdana Menteri sebelum ini menegaskan penggunaan SOSMA adalah perlu atas faktor keselamatan.

Beliau berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa pihak polis terpaksa menggunakan akta terbabit kerana keadaan adalah berbeza.