[VIDEO] Banjir kilat: 28 penduduk Wakaf Tapai pindah ke dewan sivik

Keadaan banjir di Kampung Wakaf Tapai semakin beransur pulih.
Keadaan banjir di Kampung Wakaf Tapai semakin beransur pulih.
A
A
A

MARANG - [DIKEMASKINI] Hujan lebat sejak lewat petang semalam menyebabkan 28 penduduk Wakaf Tapai, di sini terpaksa berpindah apabila kediaman mereka dinaiki air, akibat banjir kilat.

Kesemua mereka daripada lapan keluarga, mula berpindah secara berperingkat sejak jam tiga pagi tadi setelah diminta berpindah oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Wakaf Tapai ke Dewan Sivik Wakaf Tapai.

Salah seorang penduduk yang terlibat, Sulaini Mat Zain, 65, berkata, air mula naik mendadak sejak jam 10 malam.

"Hujan mula lebat selepas Maghrib. Kira-kira jam 9 malam, hujan masih lebat dan sejam selepas itu saya nampak air mula naik mendadak sehingga paras lutut.

"Wakil MPKK datang kira-kira jam 11 malam dan kemudian minta saya sekeluarga berpindah. Saya lapan beranak kemudiannya putuskan untuk kemaskan barang dan datang ke pusat pemindahan sementara," katanya.

Mohd Kamaruzaman dan isterinya, Nor Ilyana Mohammad, 28.
Mohd Kamaruzaman dan isterinya, Nor Ilyana Mohammad, 28.

Sulaini berkata, kebanyakan barang di rumahnya sudah diletakkan di tempat tinggi sejak awal lagi kerana kerap kali terpaksa berpindah akibat banjir.

Sementara itu, Mohd Kamaruzaman Udin, 35, berkata, sudah empat kali dia bersama keluarga terpaksa berpindah sejak menetap di situ, kerana sistem perparitan yang tidak sempurna menyebabkan banjir kilat.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, air sudah mula naik sejak jam 9 malam dan dia bersama enam ahli keluarganya mula mengemas untuk berpindah kira-kira jam 12 tengah malam.

Sulaini (kiri) dan ahli keluarganya kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Sivik Wakaf Tapai.
Sulaini (kiri) dan ahli keluarganya kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Sivik Wakaf Tapai.

"Apabila air mula naik sehingga dapur rumah, saya ambil keputusan untuk segera pindah sebab hujan semakin lebat.

"Letih sebenarnya bila terpaksa berpindah-randah setiap kali banjir, jadi saya harap pihak berkenaan ambil tindakan segera terhadap sistem perparitan di kawasan ini agar kejadian sama tidak berulang," katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca ditingkatkan kepada kategori jingga di daerah Kemaman manakala amaran kategori waspada diperluaskan ke daerah di utara Terengganu sehingga Ahad ini.