TNB sumbang kelengkapan sekolah kepada 750 pelajar

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil beramah mesra bersama pelajar pada Majlis Ceria Ke Sekolah sesi persekolahan 2020 di Ibu Pejabat TNB di Bangsar di sini hari ini.
A
A

BANGSAR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyampaikan sumbangan kelengkapan asas persekolahan kepada 750 pelajar daripada enam sekolah di sekitar Bangsar melalui Program Ceria Ke Sekolah.

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie berkata, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CR) pihaknya yang menyumbang pakaian, kasut, beg dan alat tulis.

"Syarikat kami melaksanakan CSR melalui tiga bidang utama iaitu bidang pendidikan, sosio-ekonomi (termasuk sukan) dan pemuliharaan alam sekitar.

"Kami juga menyokong agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030. Atas sebab itu kami memilih pendidikan kerana dapat mengubah kehidupan," katanya pada Majlis Penyerahan Ceria Ke Sekolah Sesi Persekolahan 2020 kepada pelajar sekolah kejiranan Ibu Pejabat TNB di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Ibu Pejabat TNB.

Seramai 750 pelajar menerima sumbangan berbentuk pakaian serta peralatan asas lengkap persekolahan termasuklah pakaian seragam sekolah, kasut, beg dan alat tulis daripada Tenaga Nasional Berhad(TNB).
Seramai 750 pelajar menerima sumbangan berbentuk pakaian serta peralatan asas lengkap persekolahan termasuklah pakaian seragam sekolah, kasut, beg dan alat tulis daripada Tenaga Nasional Berhad(TNB).

Turut hadir Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman.

Katanya, Program Ceria Ke Sekolah ini adalah kesinambungan Program Back To School yang dilaksanakan sejak tahun 2013.

"Pada tahun ini, lebih RM1 juta disalurkan bagi membantu lebih 5,000 pelajar dan murid daripada keluarga berpendapatan isi rumah terendah (B40) membabitkan 30 kawasan di seluruh negara.

"Kami membantu mereka membuat persiapan bagi sesi persekolahan tahun 2020. Semoga usaha ini memberi motivasi kepada pelajar untuk memulakan penggal persekolahan yang baharu dengan ceria," katanya.