PATI lari lintang-pukang macam nampak 'hantu'

Sebahagian daripada 25 warga Myanmar yang ditahan dalam serbuan di sebuah kilang plastik di Kemaman kelmarin.
Sebahagian daripada 25 warga Myanmar yang ditahan dalam serbuan di sebuah kilang plastik di Kemaman kelmarin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gara-gara terlalu takut ditahan penguat kuasa, sekumpulan pekerja warga Myanmar lari lintang-pukang malah pasangan suami isteri pula melarikan diri sambil berpimpin tangan meredah apa sahaja tanpa menghiraukan keselamatan.

Itu antara tindakan berani Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi mengelakkan diri daripada ditangkap ketika serbuan oleh Jabatan Imigresen Terengganu di sebuah kilang plastik di Kemaman kelmarin.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Terengganu, Ahmad Salihin Salleh berkata, semasa serbuan di lokasi jam 5.30 petang, pihaknya mendapati kumpulan pekerja warga asing sedang leka bekerja.

"Sejurus menyedari kehadiran kami, mereka terus meninggalkan kerja masing-masing dan melarikan diri untuk bersembunyi bagi mengelak dicekup.

"Namun akhirnya seramai 25 daripada 26 individu yang diperiksa ditahan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan," katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Menurut Ahmad Salihin, dalam Ops Bersepadu (Ops Belanja/Sapu/Mahir/Selera/Dandan/Kutip/ Pintu) tersebut, 25 lokasi termasuk kedai perabot, rumah sewa, tapak pembinaan, hotel dan salon di dua daerah iaitu Kemaman dan Dungun diperiksa.

"Dalam serbuan bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 12.30 tengah malam, seramai 165 pekerja warga asing diperiksa dan 62 daripadanya dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

"Mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 49 tahun termasuk 15 lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh; 15 lelaki warga Indonesia; 17 lelaki dan lapan wanita warga Myanmar; empat lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki serta seorang wanita warga Myanmar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, mereka yang ditahan dikenalpasti melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih tempoh dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen sah.

"Kami juga mengeluarkan borang 29 (saman saksi) kepada lapan majikan untuk mereka hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan," katanya.