Itu surat palsu, saya tak berminat, kata KJ

Khairy memaparkan perbezaan kepala surat Ahli Parlimen Rembau yang asli dan palsu.
Khairy memaparkan perbezaan kepala surat Ahli Parlimen Rembau yang asli dan palsu.
A
A
A

SHAH ALAM - Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan dakwaan beliau menghantar surat pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah bagi mengusulkan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, gambar surat pemberitahuan yang disebarkan dalam media sosial itu adalah palsu.

"Saya menafikan telah menghantar apa-apa pemberitahuan atau surat kepada pejabat Setiausaha Dewan Rakyat bagi membawakan usul seperti dalam gambar yang disebarkan.

"Tindakan pihak yang menyamar dengan menggunakan nama saya adalah sangat tidak bertanggungjawab dan suatu fitnah yang boleh menjejaskan reputasi saya sebagai Ahli Parlimen yang mewakili kawasan Rembau dan Barisan Nasional (BN)," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Sebelum ini tular di laman sosial gambar surat bertarikh 20 November yang menggunakan nama Khairy itu dialamatkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Kandungan surat itu menyebut mengenai usul membahaskan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada perenggan pertama surat itu tertera ayat 'Saya selaku Ahli Dewan Rakyat Rembau membuat usul ini berdasarkan Peraturan 27, Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat' dan lebih mengejutkan surat tersebut disahkan diterima semalam oleh Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat.

Sementara itu, Khairy berkata, surat pemberitahuan palsu itu juga diterima oleh Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat yang langsung tidak membuat pengesahan terlebih dahulu daripada beliau.

Artikel Berkaitan:

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut memuat naik gambar surat pemberitahuan palsu itu dan contoh kepala surat Parlimen rasmi yang sering digunakannya di Facebook.

"Jadi ia (surat pemberitahuan) adalah palsu kerana kepala surat Parlimen rasmi saya sejak 2008 adalah tertera 'Ahli Parlimen Rembau'. Saya tidak pernah menggunakan kepala surat dengan nama 'YB Tuan Khairy bla bla...' seperti disebarkan.

"Saya tidak terlibat dalam perkara ini dan tidak berminat untuk dilibatkan. Persoalan siapa pengganti atau berkaitan peralihan kuasa Perdana Menteri itu perlu diselesaikan oleh Pakatan Harapan (PH) sendiri dan ia tiada kaitan dengan saya mahupun parti yang saya wakili," katanya.

Khairy berkata, beliau lebih berminat untuk membahaskan dan menolak dasar yang boleh membantu rakyat Malaysia yang kini semakin teruk di bawah PH.