Keputusan dicapai perlu ikut saluran betul, kata Fahmi Fadzil

Fahmi
Fahmi
A
A
A

BANGSAR - Sebarang keputusan atau ketetapan perlu mengikut saluran yang betul, demikian tegas Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengenai mesyuarat yang diadakan di Rumah Pemuda Shah Alam bersama 132 pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang di seluruh Malaysia baru-baru ini.

Fahmi berkata, mesyuarat berkenaan boleh dikatakan tidak sah kerana tidak melalui produser yang betul.

"Sebarang keputusan yang diambil mesti melalui saluran betul dan saya percaya pihak AMK akan adakan mesyuarat pada 24 November nanti.

"Keputusan dibuat mengikut mesyuarat bulanan maka itulah yang jadi ketetapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Ceria Ke Sekolah Sesi Persekolahan 2020 kepada pelajar sekolah kejiranan Ibu Pejabat TNB di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Ibu Pejabat TNB hari ini.

Katanya, sebarang keputusan atau ketetapan hasil perjumpaan di Rumah Pemuda itu tidak terpakai.

"Saya sendiri berpandangan sebarang keputusan perlu dibuat menurut saluran rasmi.

"Nasihat saya untuk keseluruhan ahli AMK, hadir mesyuarat pada 24 November ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pada 20 November lalu Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham memanggil mesyuarat berasingan tanpa persetujuan sah daripada Majlis Pimpinan Pusat AMK (MPPAMK) di Rumah Pemuda AMK.

Menerusi mesyuarat itu, Hilman turut menyatakan pendirian meneruskan perasmian Kongres Nasional AMK yang akan berlangsung di Melaka pada 5 Disember ini dengan dengan perasmian oleh Timbalan Presiden PKR.