Sesame Street versi Arab pertama di Timur Tengah

Basma adalah salah satu watak baharu yang akan menyertai keluarga Sesame Street global untuk rancangan Ahlan Simsim. - Foto AFP
Basma adalah salah satu watak baharu yang akan menyertai keluarga Sesame Street global untuk rancangan Ahlan Simsim. - Foto AFP
A
A
A

JAWATANKUASA Penyelamat Antarabangsa (IRC) dan Sesame Workshop melancarkan inisiatif bersama untuk menyediakan jutaan pelarian kanak-kanak dengan program pendidikan dalam bahasa Arab.

Sesame Workshop yang merupakan organisasi pendidikan dan bukan keuntungan bersama-sama dengan IRC berhasrat untuk memberi kanak-kanak di Syria, Jordan, Lubnan dan Iraq peluang untuk berkembang dan belajar melalui versi tempatan Sesame Street yang baharu.

Rakan kongsi itu dalam satu kenyataan berkata, mereka berharap rancangan berjudul Ahlan Simsim yang diterjemahkan sebagai Selamat Datang Sesame akan membantu mereka menyembuhkan bekas luka perang yang dialami.

Menurut Sesame Workshop, Ahlan Simsim telah bermula sejak setahun setengah lalu dan musim pertama rancangan tersebut dijangka disiarkan di Timur Tengah pada Februari tahun depan.

Sesame Workshop dan IRC memenangi anugerah Yayasan MacArthur bernilai AS$100 juta (RM417 juta) pada tahun 2017 untuk inisiatif mereka yang melibatkan rancangan televisyen berbahasa Arab dan pembangunan perkhidmatan yang mendekati kanak-kanak pelarian secara langsung.

Penerbitan rancangan televisyen baharu itu sedang dirakamkan di Jordan yang merupakan tuan rumah kepada lebih 1 juta pelarian Syria.

"Kami tahu betapa pentingnya bagi kanak-kanak untuk melihat kehidupan dan pengalaman mereka sendiri disiarkan di skrin.

"Watak kami menyediakan 'jambatan' itu dengan bantuan penyelidikan, kolaborasi dan keajaiban Muppets," jelas Penerbit Eksekutif Ahlan Simsim, Scott Cameron.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan Cameron, dia turut memperkenalkan Muppets baharu yang akan menyertai keluarga Sesame Street global iaitu Basma, Jad dan Ma'zooza. - Agensi