Isu rasmi kongres: Azmin puji keberanian majoriti AMK

Azmin Ali
Azmin Ali
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menghargai sokongan majoriti Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang tetap mahu beliau merasmikan Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR di Melaka pada 5 Disember ini.

Mohamed Azmin turut memuji keberanian yang disuarakan majoriti AMK itu walaupun pendirian berkenaan dilihat bertentangan dengan kenyataan beberapa pimpinan Pusat parti itu.

Mohamed Azmin berkata, semua pihak seharusnya menghormati pandangan majoriti yang disuarakan sayap PKR itu.

"Sudah semestinya (kita) perlu menghormati suara majoriti (Pemuda AMK) dan itu demokrasi dalam parti yang diamalkan selama ini.

"Jadi, selaku Timbalan Presiden parti, saya pasti akan mempertimbangkan keputusan ini (yang mahukan beliau merasmikan Kongres Nasional sayap PKR) dengan serius," katanya kepada kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Pra Pelancaran Kuala Lumpur Summit 2019 di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang tidak mengiktiraf ‘mesyuarat’ sekumpulan anggota sayap parti itu di Shah Alam semalam, Mohamed Azmin secara sinis berkata, ia hanyalah pandangan peribadi Ahli Parlimen Johor Bahru itu.

"Itu pandangan dia (Akmal Nasrullah)," katanya.

Kemelut dalaman PKR dilihat semakin panas apabila Akmal Nasrullah tidak mengiktiraf mesyuarat yang dianjurkan Timbalannya, Muhammad Hilman Idham, malam tadi tidak mewakili AMK.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Hilman dalam sidang akhbar selepas mesyuarat malam tadi mengumumkan Mohamed Azmin tetap merasmikan kongres sayap parti itu di Melaka, 5 Disember ini.

Akmal Nasrullah menyifatkan pertemuan semalam yang didakwa dihadiri 132 Ketua Cabang AMK, hanya sesi ceramah bagi menyatakan pandangan mereka kerana dibuat tanpa mengikut peraturan parti.