Sosej babi dirampas di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra

Pegawai Maqis dan Kastam yang bertugas di LTSIP membuat pemeriksaan terhadap barangan yang dirampas.
Pegawai Maqis dan Kastam yang bertugas di LTSIP membuat pemeriksaan terhadap barangan yang dirampas.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Kelantan berjaya mematahkan cubaan membawa masuk pelbagai jenis hasilan ikan dan daging termasuk sosej babi seberat 50 kilogram (kg) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) semalam.

Pengarah Maqis Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, sebelum itu pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap enam warga Kemboja berusia lingkungan 50 an di balai ketibaan (LTSIP) pada jam 8.50 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas semua warga Kemboja tersebut didapati mereka membawa tiga kotak yang dibalut dengan plastik lutsinar dan satu kotak ais berwarna putih masing-masing mengandungi 11kg ikan masin dan 9.2kg sosej babi.

Selain itu, katanya terdapat juga daging, sebanyak 10kg organ dalaman lembu dan 16.7kg ikan segar yang diletakkan di dalam empat bagasi berasingan.

Antara barangan yang dirampas pihak berkuasa di LTSIP semalam.
Antara barangan yang dirampas pihak berkuasa di LTSIP semalam.

Katanya, produk berkenaan itu dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri tanpa sebarang dokumen yang sah.

"Hasilan ikan dan daging termasuk sosej babi tersebut dirampas kerana tiada sebarang dokumen yang sah seperti permit import dan sijil kesihatan negara asal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, tujuan larangan pengimportan serta larangan membawa masuk daging berkenaan menerusi laluan udara adalah bagi menghalang risiko kemasukan penyakit African Swine Fever (ASF) ke negara ini dan merosakkan industri penternakan negara.

Artikel Berkaitan:

“Antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi segar, daging babi sejuk beku serta daging babi proses seperti babi salai dan sosej,” katanya.

Kenyataan itu juga berkata, perbuatan mengimport tanpa permit yang sah dari Maqis adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).