Tiada konspirasi, tangan hitam bukan DAP: Paul Yong

Paul Yong
Paul Yong
A
A
A

IPOH - Exco Kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong menafikan wujud konspirasi dalam kalangan pemimpin DAP terhadap pertuduhan merogol yang dihadapinya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh ini, Jawatankuasa DAP Perak diketuai Nga Kor Ming menunjukkan solidariti sepenuhnya kepada beliau.

"Saya percaya ada tangan hitam di belakang kes saya tetapi ia bukan daripada kalangan Jawatankuasa DAP.

"Saya mendapat sokongan penuh daripada mereka dan saya juga akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada DAP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu berkata demikian bagi mengulas pertikaian mengenai klip video mengaitkan seorang pemimpin parti itu yang mengkritik beliau meneruskan tugas sebagai Exco tanpa berunding dengan jawatankuasa kepimpinan parti.

Jumaat lalu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu itu meneruskan tugas rasmi dengan menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri selepas mendapat sokongan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Paul Yong turut berterima kasih atas keyakinan dan kepercayaan diberikan DAP negeri dan beliau mahu semua ahli terus memberi sokongan kepada parti agar perkhidmatan terbaik dapat disampaikan kepada rakyat dan negara.

"Saya harap penjelasan ini dapat memperbetulkan persepsi tidak benar yang dicipta oleh sesetengah pihak," katanya.

Artikel Berkaitan: