X

Kindly register in order to view this article
!

LZS dedah kisah sebenar budak jual nasi lemak di kaki lima

Gambar kanak-kanak berniaga nasi lemak di kaki lima sebuah stesen minyak yang tular di media sosial.
A
A

BANGI - Keluarga kepada kanak-kanak yang tular menjual nasi lemak di kaki lima sebuah stesen minyak di sini adalah penerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak setahun lalu.

LZS menerusi satu kenyataan memaklumkan selepas kisah kanak-kanak itu tersebar di media sosial, Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor memulakan gerakan mencari dan mengenal pasti lokasi kanak-kanak berkenaan.

Menurut kenyataan itu, pekerja di stesen minyak memaklumkan LZS kanak-kanak itu hanya berniaga sekitar jam 9 malam hingga lewat malam.

"Semakan mendapati keluarga berkenaan menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM400, bantuan sewa rumah bulanan RM750, bantuan pendidikan dua orang anak, bantuan hari raya tahunan dan bantuan bil elektrik tertunggak sebanyak RM790," kata kenyataan itu.

LZS juga memberitahu, keluarga berkenaan memang berniaga nasi lemak dengan pendapatan sekitar RM1,200 sebulan dengan cara menerima tempahan untuk surau, masjid dan bank sekitar Bangi.

LZS berjaya menjejaki bapa kepada kanak-kanak yang tular berniaga nasi lemak di kaki lima sebuah stesen minyak di Bangi bagi mendapatkan kisah sebenar.
LZS berjaya menjejaki bapa kepada kanak-kanak yang tular berniaga nasi lemak di kaki lima sebuah stesen minyak di Bangi bagi mendapatkan kisah sebenar.

"Pihak stesen minyak Seksyen 3 Bangi juga memberi peluang meletakkan jualan di dalam premis terbabit serta berjaya mendapatkan tempat berniaga baru di Saujana Prima Seksyen 5 Kajang," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan bapa kanak-kanak itu menjelaskan pada malam tersebut, seorang pembeli nasi lemak mengambil gambar dan tidak mengetahui situasi sebenar mereka sekeluarga serta terus membuat hantaran di laman sosial dengan niat untuk membantu menaikkan jualan nasi lemaknya.

“Bagaimanapun penyebaran gambar itu memberikan pandangan negatif kepada netizen seolah-olah sengaja membiarkan anak kecil berniaga lewat malam sedangkan ketika itu dia sedang melayani pelanggan lain.

“LZS memaparkan kisah sebenar ini supaya tidak timbul sebarang fitnah kepada keluarga ini. Mereka sentiasa berusaha menjana pendapatan. Nasi lemaknya sememangnya sedap dan bagi yang berminat boleh dapatkan di Stesen Petronas Seksyen 3 Bangi,” kata kenyataan itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus