X

Kindly register in order to view this article
!

Pas saran gugurkan Menteri Kewangan jika PM rombak Kabinet

Lim Guan Eng dan Tuan Ibrahim
A
A

KUALA LUMPUR - Pas menyarankan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng antara menteri yang perlu digugurkan sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melakukan rombakan Kabinet.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya mengalu-alukan rombakan Kabinet dan mahu perkara itu disegerakan.

“Kita mengalu-alukan rombakan Kabinet dan lagi segera lagi baik.

“Siapa perlu dirombak? Menteri Kewangan. Hari ini orang buat 'survey' dalam talian, sudah beribu yang mahu Menteri Kewangan ditukar,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, Guan Eng juga kerap menyalahkan kerajaan lama sedangkan sudah hampir dua tahun mereka mentadbir kerajaan.

“Kenyataan Menteri Kewangan asyik menyalahkan kerajaan lama, ini sudah hampir dua tahun masih menyalahkan kerajaan lama.

“Saya fikir mana-mana kerajaan kita ambil alih dan terpaksa membiayai dan fokus kepada masa depan,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir menyatakan beliau akan menimbang desakan agar rombakan Kabinet dibuat selepas kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Sabtu lalu.

Menurut Perdana Menteri, beliau akan mendengar pandangan Majlis Presiden PH berhubung desakan berkenaan.

Begitupun, rombakan itu akan mengambil masa kerana memerlukan penelitian yang sempurna sebelum mengubah kedudukan menteri-menteri sedia ada.

ARTIKEL BERKAITAN Dr Mahathir pertimbang rombak Kabinet


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!