Dr Mahathir pertimbang rombak Kabinet

Dr Mahathir - Foto fail Bernama
Dr Mahathir - Foto fail Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menimbang desakan agar rombakan Kabinet dibuat selepas kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lalu.

Dr Mahathir menegaskan, beliau akan mendengar pandangan Majlis Presiden PH berhubung desakan berkenaan.

"Kita alami kekalahan yang besar, mungkin parti kita ni baru (jadi) kena susun parti kita cukup lengkap. Kita juga dapati ada isu-isu berkenaan ekonomi tak dapat memberi bantuan seperti kerajaan yang sebelum ini dan ada macam-macam lagi, tapi akhirnya kita berpendapat kita mengadakan rombakan Kabinet.

"Saya sebagai Perdana Menteri bertanggungjawab berkenaan rombakan Kabinet dan saya dengar pandangan mereka dan akan beri keterangan desakan supaya kita rombak Kabinet," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, rombakan berkenaan bagaimanapun akan mengambil masa kerana memerlukan penelitian yang sempurna sebelum mengubah kedudukan menteri-menteri sedia ada.

Sehubungan itu, satu mesyuarat bersama PH akan dibuat dalam masa terdekat.

"(Rombakan) bukanlah hari ini atau esok tetapi setelah kita mengkaji dan meneliti pencapaian dan kebolehan menteri-menteri barulah kita akan bincang kemungkinan untuk kita rombak Kabinet.

Artikel Berkaitan:

"Saya perlu beri pertimbangan kepada parti komponen. Saya tidak boleh begitu mudah mengambil, menukar atau menggugurkan mana-mana pihak," katanya.

Beliau menambah, rombakan Kabinet juga disifatkan bukan jaminan untuk menyelesaikan masalah, justeru ia perlu dibuat dengan berhati-hati.

"Rombakan bukan dengannya sendirinya menjadi satu tindakan yang boleh memulihkan kedudukan kerajaan.

"Sebab itu perlu berhati-hati. Kita nak tahu prestasi menteri-menteri yang ada sekarang sama ada mereka perlu digugurkan atau tidak, atau perlu digilap dan sebagainya. Sebelum kita pilih orang lain untuk ganti, perlu betul-betul tahu apa kemampuan dia," katanya.

Pada masa sama Dr Mahathir berkata, banyak kerja perlu dilakukan sebelum rombakan itu berlaku terutamanya persediaan dalam menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun hadapan.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan rombakan boleh dibuat sebelum APEC 2020 namun bukan perubahan besar.

"Saya berpendapat bahawa banyak lagi kerja yang perlu dibuat tentang perkara yang lebih besar di mana kita akan jadi tuan rumah APEC dan ini kita tidak boleh perkecilkan kerana ini adalah satu mesyuarat antarabangsa yang terpenting sebab itu kita akan buat persediaan secukup mungkin ini halangan kepada dalam kerajaan.

"Ia (rombakan) akan dibuat sebelum (APEC 2020) tapi saya tidak mahu berlaku perubahan yang sangat besar yang boleh mengganggu persediaan sidang kemuncak tersebut,"katanya.