'Tahniah Harimau Malaya, penutup tirai terbaik 2019'

Hamidin - Foto FB FAM
Hamidin - Foto FB FAM
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengucapkan tahniah kepada skuad kebangsaan yang menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi kelima Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Menurutnya, kemenangan aksi kelima kumpulan G itu secara tidak langsung membuka peluang kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe terus berada dalam persaingan merebut tempat ke pusingan seterusnya dan layak ke Piala Asia 2023.

"Tahniah juga diucapkan kepada seluruh barisan kejurulatihan, pengurus pasukan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan penolong pengurus pasukan, Datuk Posa Majais bersama kapten pasukan, Aidil Zafuan Abd Radzak dan semua pemain.

"Ribuan terima kasih kepada Ultras Malaya dan penyokong Harimau Malaya yang setia memberi semangat dan mendoakan skuad kebangsaan tidak kira di mana berada.

"Penyokong sememangnya mengharapkan kemenangan hari ini dan ia umpama penutup tirai terbaik 2019 dan hadiah buat rakyat Malaysia," katanya.

Terdahulu, Hamidin berkesempatan bertemu dengan Presiden Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI) yang baru dilantik, Jeneral Polis Mochammad Iriawan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Pertemuan ringkas menjelang saingan menentang Indonesia itu membincangkan pelbagai perkara khususnya kemajuan bola sepak antara dua negara.

"Kedua-dua negara mempunyai sejarah yang cukup lama dalam sukan bola sepak sekali gus menjadikan perseteruan di atas padang cukup unik.

Artikel Berkaitan:

"Kita harapkan Harimau Malaya dan Sang Garuda akan terus bersaing secara sihat demi kecemerlangan di peringkat antarabangsa," tambah Hamidin.

Hadir sama Naib Presiden PSSI, Iwan Budianto dan Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria.