Ong Kim Swee gugur Safawi

Ong KIm Swee
A
A

PENGENDALI skuad bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee terpaksa menggugurkan nama Muhammad Safawi menjelang saingan Sukan SEA 2019 di Filipina.

"Satu keputusan yang amat berat dan sukar untuk saya lakukan. Tapi demi kebaikan Safawi di mana yang kita tahu dia bermain begitu banyak perlawanan bersama kelab dan mewakili negara termasuklah bersama B-22 pada awal tahun ini.

"Untuk kebaikan semua, saya terpaksa memutuskan Safawi berehat di mana kita mempunyai jadual penting tahun hadapan... harap semua pihak faham dengan apa yang saya lakukan, bukan demi kepentingan diri saya, tapi untuk kelab dan negara," katanya ketika sesi latihan pusat di Arena MPSJ, Subang Jaya.

Tambah Kim Swee, Safawi juga sedia maklum tentang keputusan itu dan dia faham akan perkara tersebut.

"Dia (Safawi) faham tentang mengapa dia tidak dipilih. Ini untuk kebaikan dia, kelab (Johor Darul Ta'zim) dan skuad kebangsaan," katanya.

Berhubung kekosongan posisi yang ditinggalkan Safawi, Kim Swee menjelaskan, ini akan membuka ruang kepada pemain lain membuktikan sesuatu untuk disenaraikan sebagai kesebelasan utama mahu pun senarai terakhir 20 pemain.

Dalam pada itu, mengulas pemilihan Adam Nor Azlin sebagai slot pemain senior, Kim Swee berkata, beliau mahukan kombinasi serasi kerana kebanyakan pemainnya telah bersama beliau sejak dua hingga tiga tahun lalu lagi.

"Amat singkat untuk saya membentuk kombinasi, tetapi dengan kemasukan Adam, kita akan lihat Irfan Zakaria, Dominic Tan dan Muhammad Haziq Nadzli kita akan dapat satu kombinasi yang biasa kita lakukan sebelum ini," katanya.

Kim Swee akan mengumumkan senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA 2019 pada 22 November ini, sehari sebelum mereka berlepas ke Manila.

Diundi dalam Kumpulan A, Malaysia akan memulakan kempen bertemu Myanmar pada Isnin, diikuti Filipina (29 Nov), Timur Leste (2 Dis) dan Kemboja (4 Dis). Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Memorial Rizal, Manila.