X

Kindly register in order to view this article
!

DUN Pahang kecoh isu tulisan jawi

Sidang DUN Pahang yang berlangsung hari ini.
A
A

KUANTAN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kecoh seketika apabila Chow Yu Hui (DAP-Tras) menyentuh isu tulisan jawi pada papan tanda dan iklan premis di seluruh Pahang yang berkuat kuasa tahun hadapan.

Pertikaman lidah antara Yu Hui dengan Samsiah Arshad (BN-Bukit Ibam) tercetus beberapa minit selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP itu mencadangkan penggunaan tulisan jawi di papan tanda perlu digalakkan dan bukan diwajibkan, dengan memberi insentif diskaun bagi permohonan lesen perniagaan.

"Berdasarkan surat panduan, kerajaan negeri meminta bahawa saiz tulisan jawi di papan tanda perniagaan hendaklah sebesar ataupun lebih besar daripada bahasa Melayu.

"Saya berpendapat panduan ini akan membawa sedikit sebanyak kesusahan kepada peniaga-peniaga bukan Islam kerana papan tanda premis perniagaan bukan sahaja perlu bersifat jelas dan tepat, kadang-kala ia juga perlu berunsur kreatif," katanya.

Samsiah bangun dan berkata, "Kalau tidak ada tulisan bahasa Cina, guna tulisan Melayu dan jawi. Adakah pelanggan tidak faham?"

Yu Hui kemudian berkata bahawa penggunaan tulisan jawi dibimbangi akan menimbulkan kontroversi dan sensitif sekiranya digunakan di premis tertentu khususnya yang menjual makanan tidak halal.

Bagaimanapun Samsiah terus menghangatkan keadaan apabila mempersoalkan berapa lama Yu Hui tinggal di tanah air dan masih tidak faham bahasa Melayu.

Sementara itu, Chiong Yoke Kong (DAP-Tanah Rata) membalas kenyataan itu dan menjelaskan tulisan Cina yang tertera di papan iklan bukan semua sesuai untuk umum.

Yoke Kong turut bersetuju pandangan Yu Hui dan meminta penggunaan tulisan jawi di papan tanda premis hanya digalakkan, bukan diwajibkan supaya tidak membebankan peniaga membuat papan iklan baharu bagi menambah tulisan jawi.

Bagaimanapun, Andansura Rabu (Beserah-Pas) mencelah dan memberitahu tidak bersetuju dengan saranan itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!