Batal Konvensyen PKR Sarawak bukan satu ugutan, kata Baru Bian

Baru (duduk, tengah) menyatakan pendirian PKR Sarawak membatalkan konvensyen negeri itu pada sidang media hari ini.
Baru (duduk, tengah) menyatakan pendirian PKR Sarawak membatalkan konvensyen negeri itu pada sidang media hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan membatalkan Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak bukan ugutan sebaliknya keperluan untuk mendesak pimpinan PKR nasional.

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata, keputusan tersebut bukan pandangan peribadi beliau sebaliknya pendirian majoriti ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak.

Menurutnya, seramai 32 daripada 42 ahli MPN itu mencapai kata sepakat untuk membatalkan konvensyen berkenaan.

"Pendirian kami tidak akan berganjak. Keputusan kami ini bukanlah niat untuk mengugut mana-mana pihak.

"Sebaliknya ia satu keperluan untuk mendesak pimpinan parti nasional untuk menyelesaikan masalah dalaman parti dan mengambil serius pandangan suara pimpinan yang dipilih dalam Pemilihan Parti 2018.

"Kami sangat terkesan dan terkilan dengan peristiwa-peristiwa yang mengkhianati prinsip keadilan dan demokrasi dalam parti," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.

Baru berkata, 32 ahli MPN Sarawak yang menyokong pembatalan konvensyen terdiri daripada empat ahli parlimen, tiga ahli dewan undangan negeri (ADUN), 17 ketua cabang, lima timbalan ketua cabang dan sembilan pemimpin parti di negeri itu.

Menurutnya, seramai 21 daripada 25 pemimpin AMK membantah pembatalan jemputan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merasmikan Kongres Nasional Pemuda PKR.

Artikel Berkaitan:

"Hanya 11 ketua cabang dan dua Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak sependapat manakala seorang lagi mengambil pendirian berkecuali.

"Kami amat kecewa apabila pimpinan parti nasional enggan mengiktiraf perjanjian bersama bahawa Keadilan Sarawak dan Sabah berhak mengggunakan otonomi dalam urusan di peringkat negeri.

"Konvensyen Keadilan terletak di bawah bidang kuasa negeri tetapi keputusan yang dibuat oleh Pejabat PKR untuk meneruskan konvensyen adalah sama sekali melanggar perjanjian tersebut," katanya.

Dalam pada itu Baru berkata, beliau mendapat sokongan majoriti 19 ketua cabang untuk terus menggalas jawatan sebagai pengerusi PKR negeri.

Dakwanya, wujud gerakan pihak tertentu yang mahu menyingkirkan beliau dengan menawarkan habuan kewangan kepada ketua cabang.