AADK kenal pasti 138 hektar ladang ketum

 Zulkifli Abdullah. Foto: BERNAMA
Zulkifli Abdullah. Foto: BERNAMA
A
A
A

JERLUN - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengenal pasti sejumlah 138 hektar (342 ekar) ladang ketum di negara ini yang sebahagian besarnya berada di Kedah dan Perlis.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, penanaman ketum perlu dikawal melalui peruntukan undang-undang bagi mengelak ketum terus merosakkan masyarakat terutama golongan muda.

Berdasarkan kebimbangan itu, beliau berkata, pindaan Akta Racun 1952 yang sedang dalam proses akhir sebelum dibentangkan di Parlimen dijangka dapat memastikan penguatkuasaan terhadap tanaman itu dijalankan dengan lebih berkesan.

“Kalau sebelum ini, memiliki ketum yang diproses, air ketum dan daun ketum itu salah tapi dalam masa terdekat apabila pindaan ini diluluskan di Parlimen akan menjadikan menanam ketum, menjual dan mengeksport sebagai satu kesalahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan bersama pengusaha ketum di Kedah dan Perlis di sini hari ini.

Zulkifli berkata, pindaan itu dijangka dibentang dan dibahas pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung dan beliau menggesa pengusaha serta penanam ketum segera berubah kepada tanaman lain sebelum undang-undang itu dikuatkuasakan.

Menurut beliau, berdasarkan reaksi 32 pengusaha yang hadir dalam pertemuan hari ini, kebanyakan mereka memberikan maklum balas positif dan bersedia untuk berubah kepada tanaman lain.

“Namun ada perkara-perkara yang menjadi kerisauan kepada mereka seperti tidak tahu nak tanam apa, masalah benih dan kos untuk menukar kepada tanaman lain yang saya rasa boleh dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk kita bincangkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa setakat ini Kementerian Kesihatan tidak mengeluarkan sebarang pengesahan bahawa ketum boleh digunakan untuk tujuan perubatan dan mampu meningkatkan tahap kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Perjumpaan tersebut yang turut disertai wakil Jabatan Farmasi, Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Pertanian diadakan bagi memberi penjelasan kepada pengusaha ketum berhubung langkah kerajaan itu dan saranan supaya mereka berubah kepada tanaman lain. - Bernama