1,693 terima Pingat Jasa Pahlawan Negara

Abd Jalil (dua dari kanan) bersama antara pegawai dan anggota yang diraikan pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Peringkat Kontinjen Pahang hari ini.
Abd Jalil (dua dari kanan) bersama antara pegawai dan anggota yang diraikan pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Peringkat Kontinjen Pahang hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang menjadi kontinjen pertama menyempurnakan sepenuhnya penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 1,693 penerima di negeri ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, pingat berkenaan dianugerahkan sebagai penghargaan kepada seramai 612 pesara polis dan 1,081 pegawai serta anggota yang berkhidmat ketika era darurat iaitu dalam tempoh Julai 1948 hingga Disember 1989.

Menurutnya, penganugerahan pingat tersebut dilaksanakan melalui tiga siri bermula 27 Ogos 2015 dan terbaru, semalam dan hari ini melibatkan 682 penerima terdiri daripada 54 pegawai kanan dan 628 pegawai pangkat rendah.

"Alhamdulillah, kita berjaya menyempurnakan sepenuhnya penganugerahan ini kepada penerima sebagai tanda penghargaan kepada mereka selain memupuk semangat juang yang tinggi dalam memotivasikan semua pegawai dan anggota pangkat rendah untuk meneruskan khidmat dengan lebih cemerlang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Peringkat Kontinjen Pahang di Mes Pegawai Kanan Briged Tenggara di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Jalil turut menggalakkan anggota dan pegawai polis yang bakal bersara membuat pendaftaran awal sebagai Ahli Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) atau Persatuan Bekas Polis Diraja Malaysia (PBPM) bagi memastikan kebajikan mereka diberi perhatian sewajarnya.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mengambil berat kebajikan pesara polis termasuk Kontinjen Pahang melalui pelbagai inisiatif bantuan, namun ia tidak dapat diagihkan secara menyeluruh kerana tiada maklumat terkini berhubung pegawai dan anggota bersara yang sakit atau memerlukan bantuan.

"Kita dapati masih ramai pesara polis dari Kontinjen Pahang belum mendaftar sebagai ahli persatuan ini, justeru kita galakkan mereka berbuat demikian dengan segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, pesara polis juga diminta tampil ke mana-mana balai terdekat untuk memberikan maklumat terkini berhubung status kesihatan dan lokasi mereka untuk direkodkan bagi memudahkan bantuan disalurkan terutama yang mengalami masalah kesihatan.