Taktik guna basikal curi masuk 'port' dadah terbongkar

Nor Azmi (kanan) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam di sini hari ini.
Nor Azmi (kanan) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam di sini hari ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Taktik seorang penagih dadah menggunakan basikal curi untuk memudahkannya masuk ke port penagihan dadah terbongkar selepas dia ditahan di Stesen Bas Sungai Besar, di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan polis pada jam 11.30 malam.

Menurutnya, suspek sempat menyembur cat basikal bernilai RM800 itu bagi mengaburi pihak berkuasa dan pemiliknya.

"Bagaimanapun tindakan itu berjaya dibongkar apabila suspek dicekup dalam serbuan polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Katanya, pihak polis berjaya mengesan suspek berdasarkan imej yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa.

“Berpandukan kepada rakaman CCTV itu, pihak kami mengenalpasti suspek dan berusaha mengesannya.

“Selepas berjaya mengecam wajah suspek, sepasukan anggota polis berjaya menahan suspek di stesen bas di Sungai Besar," katanya.

Dalam rakaman CCTV pada petang 17 November lalu, suspek membuka mangga pada pintu pagar dan masuk ke pekarangan rumah sebelum melarikan basikal milik mangsa.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, mangsa berusia 59 tahun yang menyedari kehilangan basikal itu kemudiannya membuat laporan polis pada hari sama.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman bagi membantu siasatan,” katanya.