Aksi luar biasa Harimau Malaya: Cheng Hoe

Skuad Harimau Malaya memberikan aksi yang amat luar biasa dalam perlawanan menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Foto: Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Skuad Harimau Malaya memberikan aksi yang amat luar biasa dalam perlawanan menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Foto: Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

PEMAIN berjaya memberikan aksi yang amat luar biasa dan ini bukan mudah terutama apabila berdepan Indonesia, itu kata pengendali skuad bola negara, Tan Cheng Hoe selepas Malaysia berjaya menewaskan pasukan negara jiran 2-0 dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Pemain terbaik perlawanan, Muhammad Safawi Rasid mengikat perlawanan dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-29 dan ke-72 untuk merangkul kemenangan ketiga daripada lima perlawanan.

Kemenangan itu sekaligus meletakkan Harimau Malaya di tempat kedua dengan sembilan mata. Manakala Vietnam terus kekal di puncak kumpulan dengan 11 mata selepas seri tanpa jaringan menentang Thailand dalam perlawanan Kumpulan G di Hanoi.

Menurut bekas ketua jurulatih Kedah itu, perlawanan itu bukanlah mudah kerana Indonesia dibarisi beberapa pemain yang berbeza berbanding perlawanan pertama dalam saingan kelayakan ini.

"Kita mula mendapat rentak selepas Safawi menjaringkan gol pertama dan kita berjaya mengekalkan rentak di separuh masa kedua.

"Pemain telah memulakan permainan dengan kesungguhan seperti semasa perlawanan menentang Thailand tempoh hari dan sudah tentu mind set sangat penting. Kita cuba terus bersaing di separuh masa kedua dan saya lihat kedua-dua pasukan bermain dengan begitu baik," katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Harimau garang jinakkan Garuda

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut menghambur pujian semua pemainnya, termasuk pengganti penjaga gol Mohd Farizal Marlias yang memainkan peranan penting dalam kemenangan itu.

Mohd Farizal bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan penalti oleh pemain naturalisasi Indonesia Osas Marvelous Ikpefua pada minit ke-83 setelah Febri Hariyadi dijatuhkan dalam kotak penalti.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai jurulatih, saya dapat melihat banyak perkara positif dalam pasukan kita, dan bagi pemain, kita perlu terus memperbaiki dan memberi tumpuan untuk tiga perlawanan seterusnya, jadi kita harus berusaha keras dan bercita-cita untuk menjadi yang terbaik atau kedua terbaik dalam Kumpulan G.

"Kita semua bekerja keras, tiada jalan pintas dalam perjalanan ini. Kita betul-betul berkeinginan untuk mendapatkan kemenangan dan pasukan terus diperbaiki untuk kekal fokus dalam perlawanan akan datang nanti," katanya.

Ketika ditanya tentang Brendan Gan yang akan terlepas perlawanan kelayakan yang akan datang menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 26 Mac 2020 selepas menerima dua kad kuning, Cheng Hoe berkata, beliau akan mencari pilihan terbaik dengan pemain yang ada bagi menggantikan posisi Brendan.

Sebagai rekod, ini adalah kemenangan dua kali berturut-turut Malaysia ke atas Indonesia selepas menewaskan pasukan dalam ranking 171 dunia itu dalam perlawanan pembukaan di Jakarta pada 5 September lepas.