Pemandu bas maut rempuh dinding kedai

Bas yang dipandu mangsa terbabas sebelum merempuh dinding kedai.
Bas yang dipandu mangsa terbabas sebelum merempuh dinding kedai.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang pemandu bas maut selepas merempuh dinding bangunan sebuah kedai pakaian di Jalan Larut di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi, mangsa, Lee Kim Thai, 64, membawa seramai 20 penumpang warga China dari sebuah hotel di Jalan Sultan Ahmad Shah menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas.

Namun dia dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh dinding kedai berkenaan yang terletak di persimpangan Jalan Larut dan Jalan Hutton di sini.

Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, kesemua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dan dihantar menggunakan kenderaan lain ke lapangan terbang sebelum mereka berlepas pulang ke China.

"Mayat pemandu bas dibawa ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian.

"Siasatan lanjut mengenai punca kemalangan masih dijalankan dan kita sedang mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.