3 parti etnik terbesar di Bosnia, Herzegovina setuju bentuk kerajaan baharu

Sefik Dzaferovic
Sefik Dzaferovic
A
A
A

SARAJEVO - Parti terbesar etnik Bosniak, Serbia serta Croatia telah mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan baharu di Bosnia dan Herzegovina pada Selasa, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Negara Balkan itu tidak mempunyai kerajaan sejak Oktober tahun lepas apabila pilihan raya umum diadakan.

Majlis presiden tiga pihak negara itu yang terdiri daripada etnik Bosniak, Serbia dan Croatia telah memberi mandat bagi membentuk kerajaan baharu kepada Zoran Tegeltija daripada Parti Perikatan Demokrat Sosial Bebas (SNSD).

Anggota Bosniak Majlis Presiden, Sefik Dzaferovic dalam satu sidang akhbar berkata, tiada pemenang atau pihak yang kalah dalam keputusan itu.

"Pemenang ialah Bosnia dan Herzegovina serta rakyatnya," kata beliau.

Menurut persetujuan yang dicapai, kerajaan akan dibentuk oleh SNSD, Parti Tindakan Demokratik Bosniak (SDA) dan Parti Kesatuan Demokratik Croatia (HDZ).

Turki turut menyambut baik langkah itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luarnya.

“Kami mengalu-alukan bahawa, dalam satu pertemuan yang diadakan hari ini oleh Majlis Presiden Bosnia dan Herzegovina, satu persetujuan telah dicapai yang membuka jalan kepada pembentukan sebuah kerajaan di negara itu,” kata kementerian itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: