Hazard nafi isu berat badan jejas prestasi

Aksi Hazard ketika mewakili Belgium menentang Rusia pada perlawanan Kelayakan Euro 2020 di Gazprom Arena Saint Petersburg 16 November lalu.
A
A

TONGGAK Belgium, Eden Hazard berkata, masalah berat badan berlebihan dihadapinya tidak mengganggu persembahan beliau semasa beraksi pada saingan peringkat kelab ataupun negara.

Sebalik menurutnya, beliau kini berada dalam prestasi terbaik setiap kali turun beraksi biarpun sekadar menyumbang satu gol dalam semua pertandingan bersama Real Madrid sejak berpindah dari Chelsea sebelum ini.

“Dalam sebulan terakhir ini saya berada dalam keadaan terbaik tanpa mengalami kecederaan.

“Kecergasan saya semasa di padang pun berada tahap tertinggi sekali gus membolehkan saya memberikan aksi terbaik semasa bersama Real Madrid dan Belgium.

“Saya harap dapat mengekalkan momentum ini pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Hazard mendapat kritikan hebat pelbagai pihak apabila berat badannya bertambah sejak berpindah dari Stamford Bridge ke Santiago Bernabeu.

Terbaharu bekas pengendali Arsenal, Arsene Wenger menyifatkan Hazard kurang menyerlah pada musim ini akibat hilang keyakinan diri kerana berdepan masalah berat badan.