Usaha banteras rasuah dilakukan tanpa henti: TPM

Dr Wan Azizah menunjukkan buku 'Hikayat Raja Pasai' pada majlis pelancaran buku tersebut di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC) hari ini. -Foto Bernama
Dr Wan Azizah menunjukkan buku 'Hikayat Raja Pasai' pada majlis pelancaran buku tersebut di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC) hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan usaha mematikan rasuah sedang dilakukan tanpa henti demi mewujudkan kesejahteraan dalam negara.

Beliau berkata, rasuah bagai barah yang merosakkan tubuh badan mana-mana kerajaan, jika tidak dibendung atau disekat pembiakannya secepat mungkin.

“Usaha yang sangat gigih sedang dijalankan untuk membanteras rasuah yang pada masa lalu telah berakar umbi dalam berbagai-bagai lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku Hikayat Raja Pasai di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC) di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, semua pihak boleh memanfaatkan pembelajaran sejarah menerusi naskhah klasik Hikayat Raja Pasai yang menekankan akhlak ‘sang penguasa’ sebagai penentu kesejahteraan bagi sesebuah kerajaan dan juga Islam yang sangat mementingkan akhlak pemimpin.

Dr Wan Azizah berkata, apa yang didedahkan di dalam hikayat itu bagai ada keserasian dengan kerajaan Malaysia hari ini yang bersungguh-sungguh menegakkan prinsip ajaran Islam yang menekankan akhlak manusia dalam upaya bernegara.

“Dalam naratif Hikayat Raja Pasai, pengarang cuba menunjukkan bahawa akibat kezaliman dan keserakahan tingkah laku seorang rajanya, Pasai telah ditakluki oleh tentera Majapahit,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan Samudera-Pasai menjadi makmur kerana sifat kemajmukan masyarakatnya sebagai kota pelabuhan yang dikunjungi pelbagai bangsa yang berdagang.

Katanya, ciri kemajmukan itu juga sama seperti ciri Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dr Wan Azizah berkata, Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah menyatakan Islam adalah agama Persekutuan, namun perlembagaan juga mensyaratkan supaya keharmonian pemeluk agama berlainan dijaga.

“Perlembagaan negara sama sekali menolak sikap melampau atau yang menampilkan ekstremisme daripada mana-mana golongan dalam hal ehwal beragama,” katanya.

Hikayat Raja Pasai merupakan salah satu karya ulung dan menjadi warisan turun temurun Melayu yang disunting oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Ahmat Adam.

Kajian awal mengenai naskhah ini telah dibuat oleh beberapa pihak seperti J.P Mead (1914), Dr A.H. Hill (1960), Teuku Ibrahim Alfiah (1973) dan Russel Jones (1987). - Bernama