Warga emas ditemui mati terbaring atas katil

Keadaan di dalam rumah warga emas yang ditemui terbaring oleh anak saudaranya pagi tadi.
Keadaan di dalam rumah warga emas yang ditemui terbaring oleh anak saudaranya pagi tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - "Saya ingatkan bau bangkai kucing, tapi rupa-rupanya mayat," kata Suraya Ismail, 35, yang menjumpai mayat ibu saudaranya, Jarah@ Aminah Awang, 75, di sebuah rumah di Kampung Bukit Besar di sini pagi tadi.

Mayat warga emas itu ditemui terbaring di atas katil di dalam biliknya kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Suraya berkata, tiga hari sebelum ini, dia dan suami memang ada terhidu bau busuk tetapi tidak menghiraukannya kerana menyangkakan hanya bau bangkai kucing.

"Tetapi hari ini bau busuk itu terlalu kuat dan memang kami tidak tahan lalu mengambil keputusan mencari 'punca' bau sebelum tersedar bau itu rupanya dari arah rumah ibu saudara yang terletak bersebelahan sahaja.

"Mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangkakan dia tiada di rumah dan ke rumah anaknya di Kampung Atas Tol di sini memandangkan pintu rumah berkunci.

"Tetapi disebabkan bau busuk terlalu kuat dari dalam rumahnya, saya mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena sebelum menghubungi anaknya untuk mengetahui sama ada ibu saudara ada di rumah dia atau tidak," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Katanya lagi, kali terakhir dia melihat ibu saudaranya itu adalah jam 3.30 petang Jumaat lalu.

"Sejak kematian suami, dia tinggal bersendirian di rumah itu malah sejak kebelakangan ini saya dimaklumkan dia tidak mahu ke rumah anaknya kerana hendak tinggal di rumahnya ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat berkenaan.

Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.