Kerajaan Perak dicadang periksa kesihatan semua ADUN

AYATFB:

Chung Seng
Chung Seng
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak dicadang mengendalikan program pemeriksaan kesihatan untuk semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu bagi mengurangkan risiko wakil-wakil rakyat yang pengsan semasa menjalankan tugas.

ADUN Kepayang, Dr Ko Chung Sen berkata, sehubungan itu satu program Perak Save A Heart akan dilancarkan minggu ini dengan usahasama kerajaan Pahang, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Kasih, St John Ambulance Malaysia, Bulan Sabit Merah Malaysia dan Persatuan Kardiovaskular Ipoh.

Katanya, melalui program ini sebanyak 10 unit peranti penyelamat nyawa dikenali Automated External Defibrillator (AED) akan ditempatkan di sekitar Bandar raya Ipoh dengan empat lokasi sudah dikenalpasti iaitu Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Stadium Indera Mulia, Taman Rekreasi DR Seenivasagam dan Padang Ipoh.

"Mesin-mesin ini akan digunakan untuk memberi rawatan atau pertolongan cemas kepada orang awam yang tiba-tiba denyutan jantungnya terhenti atau menghadapi serangan jantung dan pengsan di kawasan awam. Sekiranya tidak ada rawatan dalam tempoh masa selama lima minit, mangsa akan mengalami kerosakan otak.

"Peluang diselamatkan adalah hampir sifar sekiranya tiada rawatan dalam tempoh masa selama 10 minit. Dengan adanya rawatan AED lebih awal peluang untuk diselamatkan akan lima kali lebih tinggi," katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2020 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Beliau berkata, program Perak Save A Heart itu dimulakan oleh ramai doktor pakar dari hospital kerajaan dan swasta malah pembelian 10 mesin AED itu dibiayai kerajaan negeri bersama Persatuan Kardiovaskular Ipoh.

Menurut Chung Sen, program tersebut diharap dapat dilancarkan di kawasan lain secepat mungkin malah pihaknya sedia membantu memasang AED itu jika ada mana-mana ADUN Perak yang ingin memulakan program ini di kawasan masing-masing dengan kos setiap unit ialah RM8,800.

"Ini akan menjadikan kawasan anda tempat yang lebih selamat. Seperti yang kita sedia maklum bahawa beberapa Ahli Parlimen dan ADUN telah jatuh pengsan dan meninggal dunia sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin menyeru kerajaan Perak mengendalikan program pemeriksaan kesihatan untuk semua ADUN Perak," katanya.

Dalam pada itu Chung Sen berkata, sehingga kini terdapat banyak negara di seluruh dunia serta beberapa negeri di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Kedah dan Sabah telah pun bermula dengan defibrillator akses awam atau dikenali sebagai PAD.