Pas Pahang tak sedia terima jawatan Exco

Rosli Abdul Jabar
A
A

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Pahang tidak bersedia menerima sebarang jawatan dalam kerajaan negeri termasuk dilantik sebagai barisan Exco sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

ADUN Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar berkata, bagaimanapun selepas PRU15 ia bergantung kepada kepentingan pada ketika itu sama menerusi kerjasama politik yang dijalinkan antara Pas dan UMNO.

"Kami tidak akan buat sebarang keputusan selepas PRU akan datang..semuanya berada bawah ilmuwan ALLAH dan mengikut kepentingan semasa pada ketika itu.

"Muakafat Nasional bukan hanya membabitkan politik tetapi ia juga merupakan kerjasama pentadbiran kerana prinsip yang dibina atas alasan tegur-menegur, bantu-membantu, dan tolong-menolong dalam ketakwaan kepada ALLAH," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Semalam, parti pembangkang dari Pakatan Harapan (PH) mencabar kerajaan Pahang yang dikuasai BN agar merombak barisan Exco ADUN dari Pas sebagai Exco baharu.

Cabaran itu dibuat ADUN Ketari, Young Syefura Othman, ADUN Teruntum, Sim Chon Siang dan tujuh lagi ADUN dari PH berikutan perubahan tempat duduk blok pembangkang kini berada di barisan belakang selepas kerusi ADUN Pas.

Mengulas lanjut mengenai perubahan itu, Rosli yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, ADUN Pas tidak pernah meminta perubahan kedudukan kerusi itu.

Bagaimanapun jelasnya, perubahan tersebut tertakluk di bawah kuasa Yang Dipertua DUN.

"Saya boleh duduk di belakang.. tapi Young Syefura boleh duduk di hadapan itu kena terima pelawaan masuk UMNO dulu..baru boleh jadi Exco," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PH cabar BN rombak barisan Exco Pahang