Harga petrol: PPIM mahu kerajaan lebih telus

Datuk Nadzim Johan
A
A

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan agar kerajaan lebih telus dan terbuka berkenaan paparan kiraan harga runcit produk petroleum yang diumumkan secara mingguan bermula, semalam.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, selama ini pengguna sekadar ‘menerima’ penetapan harga yang diumumkan oleh kerajaan tanpa mengetahui cara kiraan bagaimana kos itu diperoleh.

“PPIM menyambut baik langkah baharu kerajaan ini, namun, mengharapkan mekanisme ini turut memaparkan kos-kos yang lebih terbuka kepada penguna.

“Dasar kerajaan BN sebelum ini juga pernah amalkan mekanisme pengumuman harga runcit petroleum secara mingguan, namun, pengguna sekadar mengikut sahaja tanpa mengetahui jumlah kiraan yang dibuat kerajaan.

“Kadang-kadang terus naik sahaja, turun pun sedikit sahaja. Pengguna ikut sahaja, tak pasti betul atau tidak. Sebab itu kalau boleh kita syorkan kepada kerajaan PH untuk siarkan kos kiraan harga petrol dan diesel. Misalnya kos tapisan minyak, macam mana boleh dapat harga yang diumum tersebut, lebih kepada penjelasan kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, mengulas mengenai RM30 juta keuntungan yang bakal dinikmati pengusaha stesen minyak setiap bulan seperti didakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nadzim menyatakan mungkin bekas menteri kewangan itu lebih mengetahuinya.

“Najib pernah berada dalam Kabinet, beliau lebih tahu cara kiraan. Kita sebagai rakyat dan pengguna cuma bayar harga petrol dan diesel seperti yang diumumkan kerajaan setiap minggu.

“Sebab itu, saya minta penjelasan kiraan harga setiap minggu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nadzim juga mencadangkan agar kerajaan menyalurkan subsidi petroleum secara bersasar kepada rakyat memerlukan.

“Sepatutnya subsidi petroleum kerajaan diberikan kepada rakyat yang mengharapkan subsidi, jika subsidi petroleum ditabur kepada semua rakyat, ia tidak adil kepada rakyat miskin.

“Orang kaya tak minta pun subsidi petroleum, tapi mereka dapat, sedangkan rakyat miskin yang sangat mengharapkan bantuan turut membeli minyak dengan harga yang sama dengan golongan berkemampuan. Ini tidak adil, kerajaan perlu kaji semula,” katanya.