Resah gelisah selepas tewas di Tanjung Piai

Jeck Seng (tengah) bersama Pengerusi BN, Datuk Seri AHmad Zahid Hamid Hamidi dan Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak selepas diumumkan menang PRK Tanjung Piai.
A
A

CERITA mengenai kekalahan calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di Johor kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng masih tidak habis diperkatakan.

Untuk seminggu dua ini, sudah tentu penyokong BN meraikan kegembiraan itu sementara penyokong PH pula menerimanya dengan perasaan yang berbagai-bagai. Ada yang kecewa dan ada yang tidak percaya.

Ini kerana, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), inilah kali pertama calon PH mengalami kekalahan dengan undi majoriti yang begitu besar iaitu sebanyak 15,086 undi.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu memperoleh 25,466 undi manakala Karmaine meraih 10,380 undi dalam pertandingan enam penjuru.

Kesemua calon lawan lain hilang wang deposit apabila calon Gerakan, Wendy Subramaniam mendapat 1,707 undi, manakala Badhrulhisham Abdul Aziz dari Parti Barisan Jemaah Islamiah mendapat 850 undi.

Dua calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperoleh 380 undi serta 32 undi.

Pada PRU14, Jeck Seng, 55, tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik (PH) dengan majoriti tipis 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Dr Md Farid, 42, meninggal dunia pada 21 September lepas di Hospital Pontian akibat komplikasi jantung.

Karmaine, 66, ketika itu bertanding di kawasan Parlimen bersebelahan iaitu Pontian, namun tewas kepada calon BN, Datuk Seri Ahmad Maslan dengan majoriti tipis 833 undi.

Kekalahan di Tanjung Piai adalah kekalahan kali keempat berturut-turut PH sejak PRK Cameron Highlands di Pahang, diikuti Semenyih di Selangor dan Rantau di Negeri Sembilan.

PH sebelum ini memenangi PRK Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia di Selangor, Port Dickson di Negeri Sembilan dan Sandakan di Sabah.

PKR terlibat dalam empat PRK dengan keputusan tiga menang dan satu kalah. DAP pula terlibat dalam tiga PRK dengan keputusan dua menang dan satu kalah, manakala Bersatu terlibat dalam dua PRK iaitu di Semenyih dan Tanjung Piai, kedua-duanya tewas.

Tanjung Piai adalah kerusi campuran dengan 52,471 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 57 peratus pengundi Melayu, 41.66 peratus Cina dan satu peratus India dan jumlah peratusan keluar mengundi pada PRK ini ialah sebanyak 74.5 peratus.

Semalam Sinar Harian memetik kenyataan sumber dalaman PH mengatakan, mereka sudah menjangka kemerosotan sokongan pengundi Cina tetapi masih berkeyakinan sokongan pengundi Melayu akan meningkat daripada 20 peratus yang diperoleh pada PRU14 lalu.

Apa yang berlaku pada hari mengundi ternyata mengejutkan kerana sokongan pengundi Melayu terhadap PH hanya setakat di bawah lima peratus.

BN berjaya merampas kembali kerusi Tanjung Piai disebabkan ketidakpuasan hati rakyat terhadap janji pilihan raya tidak ditunaikan oleh kerajaan PH dan naratif yang asyik menyalahkan kerajaan lama.

Bagi pengundi majoriti Melayu, mereka melihat ekonomi rakyat masih tidak dapat ditangani dengan baik oleh kerajaan PH. Kehidupan ramai pengundi sebagai pekebun getah, peneroka kelapa sawit, nelayan tidak berubah walaupun kerajaan sudah bertukar.

Ternyata angka lima peratus yang diberikan oleh sumber berkenaan dan dijadikan sebagai tajuk berita muka hadapan Sinar Harian menarik perhatian Menteri Wilayah Persekutuan daripada Parti Amanah Nasional (Amanah), Khalid Samad.

Dalam statusnya di Twitter, Khalid berkata, kalau hanya 30 peratus undi Cina diperoleh, mana mungkin dapat 27 peratus keseluruhan undi sekiranya hanya lima peratus pengundi Melayu undi PH.

“Kalau nak kelentong pun biar berpada-pada. Paling kurang perlukan 25 peratus undi Melayu untuk dapat 10,380 undi. Tipu terlajak,” katanya semalam.

Mengikut formula kiraan Ahli Parlimen Shah Alam itu, untuk mendapatkan 10,380 undi, daripada 42 peratus pengundi Cina dan 57 peratus Melayu, pecahan undi Cina dan Melayu ialah 30 peratus Cina 25 peratus Melayu atau 40 peratus Cina 18 peratus Melayu atau 50 peratus Cina 11 Melayu.

“Maka 5 peratus undi Melayu dan 30 peratus undi Cina adalah mengarut,” katanya menerusi Twitter yang mendapat 188 komen, 12 perkongsian dan 77 tanda suka.

Sementara kiraan kasar yang diberikan sumber dalaman PH itu yang terlibat dalam kerajaan di Tanjung Piai, daripada 10, 380 undi yang diterima calon PH, sebanyak 8,430 atau 95 peratus adalah undi Cina manakala 1,950 atau lima peratus adalah undi Melayu.

PRK Tanjung Piai menghantar mesej yang jelas kepada pemimpin PH bahawa parti itu mengalami defisit kepercayaan (trust deficit) daripada rakyat khususnya orang Melayu.

Ada pihak dalam PH sendiri yang menyifatkan PRK kali ini juga sebagai satu referendum rakyat yang jelas menolak kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

PH kalah di semua PDM, berbeza dengan rekod PRU lalu apabila PH berjaya memenangi 11 daripada 27 PDM yang ada. Bila manifesto gagal dilaksanakan, sudah tentu pengundi akan menolak PH.

Selepas lebih setahun memerintah, PH masih bersikap seperti sebuah parti pembangkang dan menyalahkan BN bagi setiap masalah yang dihadapi negara masa kini. Itulah naratif yang masih tidak berubah-ubah selepas menjadi kerajaan.

Kekalahan di Tanjung Piai agak memalukan tetapi tidak perlu diratap dan ditangisi. Yang berlalu biarkan berlalu.

PH perlu melakukan post-mortem kekalahan untuk mencari punca-punca utama. Masih ada agenda yang lebih besar sedang menunggu selepas ini.

Jika PH mahu kekal berkuasa selepas pilihan raya akan datang, pastikan janji-janji manifesto dilaksanakan kerana ‘orang Melayu tidak mudah lupa’ dan ekonomi orang Melayu perlu dijadikan gagasan utama.

Paling penting jangan bergaduh sesama sendiri. Masih ada masa untuk PH melakukan perubahan.